mutakhir

Mayat terapung disangka raga

Kota Bharu: “Saya sangka objek itu raga, rupa-rupanya mayat seorang lelaki,” kata Amizulaiha Omar, 28 yang menemui mayat lelaki dalam keadaan terapung di dalam air dalam kejadian di Kampung Limbat, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mayat Baharom Mohamad, 25, yang menjadi korban pertama banjir di negeri ini ditemui dalam keadaan terapung di halaman sebuah rumah penduduk.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, dekat sini, untuk dibedah siasat.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa yang menghidap sawan membantu penduduk di kampung itu dengan mengalihkan peralatan rumah ke tempat lebih selamat pada jam 12 tengah malam, kelmarin.

Amizulaiha berkata, ketika kejadian dia berehat berhampiran pejabatnya sebelum ternampak objek menyerupai raga di dalam air.

Katanya, dia bagaimanapun pergi lebih dekat untuk melihat objek berkenaan sebelum terkejut apabila ternampak mayat lelaki di dalam air sedalam satu meter.

“Tak sangka pula objek yang pada mulanya saya anggap raga berwarna merah itu adalah mayat penduduk di kampung ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2014 @ 5:20am
d