mutakhir

Gegar pagar tuntut RM300,000

Kajang: Seorang ahli perniagaan hidup ketakutan selepas diugut dua lelaki yang menuntut mangsa memulangkan wang pelaburan emas ditawarkan sebelum ini.

Dalam kejadian jam 9 malam Ahad lalu, mangsa berusia 29 tahun tiada di rumah sebelum dihubungi isterinya memberitahu terdapat dua lelaki berada di luar rumah mereka di Taman Saujana di sini.

Suspek dikatakan menjerit dan menggoncang pintu pagar rumah mangsa sekuat hati.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, susulan itu mangsa bergegas pulang ke rumahnya berikutan bimbang keselamatan ahli keluarganya.

“Setibanya di rumah, dua lelaki itu memberitahu mereka datang untuk menuntut hutang.

“Suspek turut mengugut mangsa menyerahkan kenderaan mewah Toyota Vellfire dan jam tangan Rolex dipakai ketika itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa enggan akur permintaan suspek.

“Suspek kemudiannya meminta wang RM300,000 sekiranya tidak mahu kenderaannya dirampas sebelum beredar pergi.

“Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kajang di sini, kelmarin,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2014 @ 5:21am
d