mutakhir

7 jam terperangkap

Jertih: Empat sekeluarga terperangkap hampir tujuh jam dalam kejadian banjir di jalan Padang Tapong ke Lata Tembakah sebelum diselamatkan pasukan penyelamat jam 3.30 pagi, semalam.

Mangsa, Mohd Zain Ismail, 45, kakitangan Syarikat Air Terengganu (SATU) bersama isteri, Noraini Ishak, 40, dan dua anaknya berusia 12 dan 13 tahun terperangkap apabila jalan utama ke Hulu Besut terputus akibat ditenggelami air.

Mohd Zain berkata, sebelum kejadian mereka sekeluarga dari bandar Jertih sebelum melalui jalan berkenaan untuk pulang ke rumahnya di Kampung Padang Bual, dekat sini.

“Saya memilih jalan ini kerana jalan utama Jertih ke rumah saya melalui Alor Keladi dinaiki air di Kampung Jerbun. Malangnya, selepas lapan kilometer, Proton Waja dinaiki kami tidak boleh melalui jalan itu kerana banjir.

“Saya mengambil keputusan berpatah balik ke arah Padang Luas, tetapi jalan yang boleh dilalui sebelum ini ditenggelami air menyebabkan kami tidak boleh ke mana-mana,” katanya yang bertugas di Loji Rawatan Bukit Bunga berhampiran kediamannya.

Menurutnya, dia cuba meredah air yang menenggelami jalan berkenaan, bagaimanapun enjin keretanya tiba-tiba terhenti menyebabkan mereka berempat menolak kereta ke tempat lebih tinggi.

Bagaimanapun, katanya, pada jam 3.30 pagi, dia sekeluarga terdengar enjin bot dan berasa bersyukur apabila menyedari tiga anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) datang untuk menyelamatkan mereka ke pusat pemindahan di Kampung Padang Tapong.

Disiarkan pada: December 20, 2014 @ 5:21am
d