mutakhir

Dua beradik hilang ditemui ditembak

Kapit: Misteri kehilangan dua beradik sejak tiga hari lalu terungkai apabila mayat mereka ditemui dengan kesan tembakan pada dada dan kepala disyaki dibunuh di Sungai Baleh di sini, semalam.

Apang Jalak, 59, dan adiknya Ningkan, 51, ditemui terapung oleh orang awam jam 12 tengah hari selepas ahli keluarga membuat laporan mengenai kehilangan mereka.

Sumber berkata, sebelum kejadian Apang yang tinggal di Rumah Panjang Bangsa Nanga Sebilat, Sungai Gaat menghantar adiknya ke Kuala Sungai Gaat untuk menaiki naik bot ekspres ke Kapit pada jam 5.30 pagi Rabu lalu.

“Ningkan kontraktor balak dan dia pulang ke Kuala Sungai Gaat selepas membayar gaji pekerja. Bagaimanapun, kedua-duanya dilaporkan tidak pulang menyebabkan ahli keluarga risau dan mencari mereka, namun gagal.

“Berikutan itu, ahli keluarga membuat laporan di Balai Polis Kapit,” katanya.

Menurutnya, polis menjalankan siasatan berdasarkan laporan orang hilang, namun dikejutkan dengan penemuan mayat dua beradik itu di sungai berkenaan.

“Polis menemui kesan tembakan pada kepala dan betis kiri Ningkan manakala Apang cedera di dada dan tangan kiri. Motif sebenar pembunuhan belum diketahui dan mayat dibawa ke Hospital Kapit untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: December 21, 2014 @ 5:06am
d