mutakhir

Eksport satu dunia

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Pekan: Teknologi berkhatan cara moden yang diperkenalkan syarikat tempatan perlu dikomersialkan ke peringkat antarabangsa kerana amalan itu bukan saja diwajibkan dalam kalangan umat Islam, malah mendapat sambutan penganut agama lain di luar negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, di Malaysia bukan saja orang Islam, tetapi penganut agama lain turut menganggap berkhatan adalah amalan baik dan perlu dilakukan.

“Amalan ini bukan saja wajib dalam kalangan orang Islam, di luar negara agama lain seperti Yahudi turut mewajibkannya,” katanya ketika berucap merasmikan program berkhatan beramai-ramai peringkat Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Datuk Ishak Muhamad.

Dalam majlis anjuran Biro Agama UMNO Bahagian Pekan dan Biro Agama UMNO Malaysia, seramai 328 kanak-kanak menyertai program yang berlangsung selama dua hari berakhir semalam.

Kanak-kanak terbabit dikhatankan melalui kaedah ‘Sunatech’ yang dibangunkan syarikat milik Bumiputera, Sunatech Sdn Bhd.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, kaedah berkhatan moden seperti Sunatech hasil kajian syarikat tempatan antara contoh teknologi terkini yang mudah, selain tidak menyakitkan berbanding cara tradisional.

“Selain mudah dan selamat, ia mengambil masa 10 minit untuk satu sesi dan satu kaedah mudah, tiada jahitan, tiada balutan dan tidak sakit.

“Kanak-kanak juga dikatakan boleh melakukan aktiviti rutin seperti mandi serta bersolat dan sesuai dieksport ke luar negara,” katanya.

Najib berkata, beliau mencadangkan kaedah berkhatan Sunatech itu diperluas dan dikomersialkan ke luar negara.

“Kalau boleh saya hendak ia dieksport ke luar negara kerana permintaan banyak.

“Kerajaan bersedia bekerjasama dengan syarikat terbabit, selain menawarkan kaedah berkenaan di kampung dan luar bandar terutama di tempat sukar dilawati doktor,” katanya.

Beliau berkata, jika dulu orang paling ditakuti kanak-kanak ketika hendak berkhatan adalah Tok Mudim kerana melakukan proses itu secara tradisional tanpa ubat bius, namun dengan teknologi terkini, rasa sakit dapat dikurangkan.

Sementara itu, seorang peserta, Wan Mohd Shahil Wan Zulkafli, 11, berkata, dia teruja kerana majlis berkhatan itu dirasmikan Perdana Menteri.

“Orang lain berkhatan Perdana Menteri tak datang pun, tetapi kami bertuah kerana Perdana Menteri datang ke majlis ini, itu yang membuatkan kami seronok berkhatan beramai-ramai,” katanya berasal dari Ganchong Tengah, di sini.

Disiarkan pada: December 21, 2014 @ 5:10am
d