mutakhir

Tak jadi tiup lilin

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Kuantan: “Saya terpaksa menyambut ulang tahun kelahiran ke-43 di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan, kelmarin, selepas air naik kira-kira satu meter di dalam rumah,” kata mangsa banjir, Mohd Fazli Abdul Manan yang terpaksa membatalkan niat untuk meraikan hari jadi di rumahnya di Kampung Pandan 2, di sini, selepas air naik mendadak jam 3 pagi, Rabu lalu.

Mohd Fazli yang juga pesara tentera berkata, sebelum kejadian, dia merancang hendak meniup lilin kek di rumahnya pada Rabu lalu, namun terpaksa berpindah selepas diarahkan pihak berkuasa berikutan paras air naik mendadak.

Dia mengarahkan isteri dan lima anaknya berusia tiga hingga 15 tahun mengemas barang termasuk membawa kek dua tingkat disimpan di dalam peti sejuk untuk menyambut ulang tahun kelahiran di pusat pemindahan.

Menurutnya, dia dan isteri tidak menyangka terpaksa menyambut ulang tahun kelahiran di pusat pemindahan berkenaan, namun bersyukur kerana majlis diadakan secara sederhana itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan tidak diingini.

“Alhamdulilah, majlis sambutan ulang tahun kelahiran saya berjalan lancar dan akan menjadi kenangan tidak dapat dilupakan selama-lamanya,” katanya yang dibenarkan pulang selepas air di rumahnya mula surut, petang semalam.

Seramai 883 orang termasuk kanak-kanak daripada 235 keluarga mangsa banjir yang ditempatkan di SMK Pandan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas air mula surut.

Namun, mangsa di pusat pemindahan berkenaan, semalam, dikejutkan dengan kejadian pelik apabila seorang gadis berusia 20 tahun terpaksa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini, selepas dipercayai diserang histeria.

Difahamkan, keadaan tegang itu bagaimanapun berjaya dikawal petugas keselamatan di situ.

Ahli Palimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail berkata, semua mangsa yang dibenarkan pulang perlu kembali ke pusat pemindahan berkenaan jika berlaku lagi banjir di rumah masing-masing.

“Pada masa sama, saya turut terkilan dan kecewa kerana ada segelintir individu mengambil kesempatan mendaftar sebagai mangsa banjir yang kemudian menerima bantuan sedangkan nama mereka tidak tersenarai serta tidak layak mendapat bantuan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Disiarkan pada: December 21, 2014 @ 5:11am
d