mutakhir

2 kali tempat sama

Oleh Rosli Ilham

Dungun: “Sudah dua tahun berturut-turut saya berpantang di sini,” kata Norah Abdullah, 21, yang ditemui di pusat pemindahan banjir di Dewan Majlis Sukan Negara, di sini, semalam.

Norah yang baru 10 hari melahirkan anak keduanya berkata, tahun lalu dia berpantang di pusat pemindahan sama selepas melahirkan anak pertamanya, Nur Syifaa Zaara Shahrul Hisham yang ketika itu berusia satu bulan.

“Kali ini selepas 10 hari melahirkan Nur Syafiah Aliesya, banjir melanda LAGI kawasan perumahan saya menyebabkan kami sekeluarga berpindah ke tempat sama.

“Apabila musim tengkujuh tiba, saya dan suami, Shahrul Hisham Jusoh, 33, berdoa saya tidak berpantang di sini, tetapi hendak buat macam mana, itu ketentuan Allah,” katanya yang tinggal di Taman Rakyat Jaya, di sini.

Norah berkata, kawasan perumahannya antara kawasan pertama diarah berpindah setiap kali musim tengkujuh, namun kali ini kedatangan banjir agak lewat sedikit.

Katanya, hujan lebat sejak tengah hari kelmarin, menyebabkan air mula memasuki rumah dan bimbang keselamatan anak, dia bersama suami berpindah ke pusat pemindahan pada jam 6 petang.

“Suami yang bekerja sebagai buruh di syarikat kebersihan tidak dapat menumpukan perhatian untuk menjaga bayi kami kerana terpaksa mencari rezeki.

“Namun, saya bersyukur kerana jiran dan mangsa banjir di pusat pemindahan ini membantu termasuk memandikan bayi.

“Alhamdulilah, mereka banyak membantu saya menguruskan keperluan diri dan anak terutama ketika suami keluar bekerja,” katanya.

Disiarkan pada: December 21, 2014 @ 5:12am
d