mutakhir

Pengguna abai tanggungjawab

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Sistem pembetungan di negara ini menggunakan dua kaedah iaitu sistem tangki septik individu serta sistem pembetungan bersambung yang mengalirkan terus air kumbahan dari kediaman ke loji olahan kumbahan.

Menurut Jurutera Rawatan Loji Olahan Kumbahan Serantau Bandar Tun Razak Mohd Nor Amir Zulkifli, tangki septik di Malaysia hanya merawat kumbahan secara separa iaitu masih melepaskan efluen yang mempunyai kandungan bahan organik tinggi yang boleh mencemarkan alam sekitar.

“Kebanyakan pengguna tangki septik sering mengabaikan tanggungjawab mengosongkan tangki berkenaan yang perlu diselenggara dua tahun sekali kerana kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan enap cemar dalam tangki itu melimpah keluar dan mencemarkan alam sekitar kita.

“Bagi premis yang menggunakan sistem pembetungan bersambung pula ia tidak mempunyai masalah kerana sisa buangan akan dialirkan terus ke loji olahan kumbahan (STP).

“STP adalah bahagian paling penting dalam sistem pembetungan kerana setiap air kumbahan dan air buangan najis dari kediaman dan premis akan dirawat sebelum dilepaskan ke perairan bagi menjamin kebersihan ekosistem alam sekitar. Pada bahagian inilah segala sisa kumbahan dan buangan najis akan melalui beberapa proses biologi sebelum air sisa terawat (efluen) dilepaskan kembali ke perairan kita,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan STP beroperasi menggunakan perkakasan mekanikal berteknologi Jepun bagi mempercepatkan pemecahan rawatan air kumbahan berbanding kaedah lama seperti kolam pengoksidaan.

“Proses rawatan air kumbahan mengandungi beberapa elemen seperti mesin tapisan untuk mengasingkan sampah dan bahan tidak larut air bagi memastikan hanya air kumbahan saja akan memasuki tangki reaktor kelompok penjujukan (SBR).

“Uniknya, di bawah SBR ada empat proses merawat air kumbahan dalam satu tangki yang bermula dengan stesen pam mengalirkan air kumbahan serta mengasingkan air dan bahan tidak larut air, pengudaraan, pemendapan dan penjernihan sebelum air terawat dilepaskan ke perairan mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.

Katanya, bahan kimia polimer ditambah dalam proses pengeringan enap cemar untuk mengurangkan kandungan air di dalamnya sebelum dibuang ke tapak pelupusan.

“Ia tidaklah mengeringkan, tetapi sekurang-kurangnya penambahan polimer dalam proses itu mengurangkan lagi kandungan air dalam enap cemar itu bagi memastikan ia tidak mengganggu persekitaran,” katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2014 @ 7:58am
d