mutakhir

Rupanya ular sawa batik

Kuantan: “Dari jauh saya sangka ikan keli Afrika yang tersangkut pada jaring dipasang di belakang rumah.

“Namun, terkejut apabila melihat ia ular sawa batik sepanjang kira-kira tiga meter(m),” kata penduduk Kampung Sungai Belat, di sini, Mohd Izuddin Abu Sufian, 19.

Remaja itu berkata, pada kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, dia cuba melepaskan ular berkenaan tetapi mengalami kesukaran apabila haiwan itu mula agresif dengan cuba mematuk lengannya.

“Selepas kira-kira 15 minit, barulah ular itu dapat dilepaskan daripada jaring. Bagaimanapun, reptilia berkenaan yang saya anggarkan seberat kira-kira 20 kilogram(kg) itu mati tidak lama kemudian.

“Mungkin nasib saya kurang baik. Hasrat di hati mahu membawa pulang ikan lampam jawa, baung, belida dan tapah daripada limpahan air banjir dari Sungai Belat yang terletak tidak jauh dari rumah. Tetapi, lain pula jadinya, apabila jaring yang dipasang rosak akibat ular berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dia berkata, ini pengalaman kali kedua membabitkan ular tersangkut pada jaring dipasangnya ketika banjir melanda kawasan daerah ini.

“Tahun lalu, ular sama yang saya anggarkan seberat hampir 50kg dan lebih empat meter turut terkena jaring yang saya pasang di Kampung Air Hitam,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Nagara (PERHILITAN) Pahang Khariah Mohd Shariff ketika dihubungi berkata, hidupan seperti ular akan keluar daripada sarangnya untuk mencari tempat selamat setiap kali kejadian banjir.

Disiarkan pada: December 22, 2014 @ 8:10am
d