mutakhir

Seksa genap dua jam

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seorang lelaki menahan kesakitan hampir dua jam apabila kedua-dua kakinya tersepit di bawah papan pemuka apabila kereta yang dipandunya terbabas di Jalan Tun Razak-Lebuh Ayer Keroh, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.50 petang, saksi kejadian Azhar Jalal, 52, berkata, kereta Toyota Vios dipandu mangsa, Low Chong Wei, 25, secara tiba-tiba hilang kawalan dan merempuh tembok hentian bas sebelum terhenti di tengah jalan.

“Saya melihat kereta itu terpelanting ke tengah jalan selepas melanggar tembok hentian bas menyebabkan kereta itu terhenti di tengah jalan dalam keadaan mengiring dengan tempat duduk penumpang di bawah manakala pemandu di atas.

“Ketika itu, kami sedang melakukan kerja tidak jauh dari lokasi kejadian dan segera meluru ke arah kereta itu serta mengawal lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Kami beramai-ramai cuba menolak kereta itu untuk membolehkannya kembali ke keadaan asal, namun tidak berjaya,” katanya.

Azhar berkata, kereta itu akhirnya diletakkan ke posisi normal dan dialihkan ke bahu jalan menggunakan jentolak berdekatan lokasi kejadian.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh PBKII Mohd Sharulnizam Sidek berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.01 petang dan sebuah jentera dengan seorang pegawai dan lima anggota tiba di tempat kejadian enam minit selepas itu.

“Sejurus tiba, operasi menyelamat dimulakan dan mangsa akhirnya dikeluarkan pada jam 7.45 malam.

“Mangsa dipercayai cedera pada tulang kering (betis) dan tulang rusuk,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka oleh pasukan paramedik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, mangsa dipercayai memandu sendirian ketika kemalangan itu berlaku.

“Mangsa dipercayai dari arah Bandar Melaka menghala ke Durian Tunggal, tiba-tiba hilang kawalan apabila tiba di lokasi kejadian di hadapan Zoo Melaka.

“Mangsa patah kaki kanan di hantar ke Hospital Melaka sebelum dibawa ke Hospital Pantai untuk rawatan lanjut.

“Pembedahan ke atas kaki mangsa selamat dilakukan jam 11 tengah hari tadi (semalam),” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: December 22, 2014 @ 8:21am
d