mutakhir

Memperingati yang pergi

Oleh Mohd Hilmi Mahmud

Balik Pulau: Bagi memperingati kejadian tsunami yang berlaku 10 tahun lalu, kira-kira 200 individu dari enam agensi kerajaan berkumpul di Kem Negara Balik Pulau, di sini, semalam.

Program dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad itu bertujuan berkongsi pengalaman selain memperingati kejadian yang berlaku pada 26 Disember 2004 yang mengorbankan 32 penduduk di Balik Pulau.

Menurut Muhamad Farid, program itu adalah yang pertama kali diadakan selepas 10 tahun tsunami berlaku.

“Selain memperingati tragedi itu, program ini juga bagi memberikan pendedahan kepada orang awam berkenaan bencana tsunami.

“Dengan program ini, kita harap ia dapat memberikan pengalaman baru selain pendedahan kepada orang ramai serta pasukan penyelamat bagi menghadapi bencana yang tidak dijangka,” katanya.

Program berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya jam 9 pagi selepas siren amaran tsunami yang dikawal dari Putrajaya dibunyikan.

Turut hadir pada program berkenaan adalah waris dan mangsa tsunami yang terselamat dalam kejadian itu.

Farid berkata, program ini akan diteruskan lagi 10 tahun akan datang untuk mengenangkan bencana tsunami berkenaan.

“Saya akan membuat lagi program ini 10 tahun yang akan datang dan akan menjemput mangsa dan waris yang terkorban dalam kejadian tsunami untuk berkongsi pengalaman dengan penduduk dan orang awam yang tidak pernah merasainya.

“Dengan program seperti ini diharap orang ramai akan lebih berhati-hati ketika berada di pantai dan dapat menyelamatkan diri sekiranya berlaku sebarang bencana yang tidak diundang,” katanya.

Enam agensi kerajaan yang terbabit dalam program itu ialah Hospital Balik Pulau, Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Disiarkan pada: December 22, 2014 @ 8:30am
d