mutakhir

'Malaysia paling banyak membantu'

Banda Aceh: Melihat pelajar Rumah Anak Yatim Babun Najah di Ulee Kareung, di sini, menelaah buku di perpustakaan disumbangkan Mercy Malaysia menyebabkan penulis dan jurufoto Harian Metro yang melawat kembali Aceh selepas sedekad tsunami rasa terharu.

Tenaga pengajar Rumah Anak Yatim Babun Najah, Arifin Ramli, 25, berkata, sepuluh tahun lalu antara yang terawal menghulurkan tangan adalah kerajaan, pihak badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat Malaysia.

“Bantuan bukan saja dalam bentuk fizikal tetapi pendidikan. Saya sendiri mendapat bantuan pelajaran percuma daripada Yayasan Restu,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Beliau berkemahiran menulis khat yang dipelajari di Yayasan Restu Shah Alam, berkata, selepas tsunami, ada tujuh bangunan baru dibina untuk menempatkan anak yatim yang kini menjangkau 720 orang.

“Paling banyak membantu adalah Malaysia. Penambahan bangunan utama kami disumbangkan PETRONAS, ia termasuk ruang kelas. Surau kami disumbangkan oleh Bahagian Kebajikan Agama Islam Terengganu.

“Pelajar kita dihantar ke Pusat GIATMARA untuk belajar kursus automotif dan ada dihantar ke Yayasan Restu Shah Alam untuk mempelajari khat termasuk saya,” katanya.

Terkini, katanya, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menaja pembelajaran 25 anak yatim rumah itu dengan pemberian biasiswa RM150 sebulan setiap seorang termasuk alat kelengkapan belajar.

Beliau berkata, Mercy Malaysia pula banyak membantu dalam keperluan makanan, pakaian dan buku selain melanjutkan pelajaran ke Malaysia dengan biasiswa Yayasan Al-Bukhary.

“Pelajar juga dilatih menjahit di bengkel disumbangkan YAPEIM dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

“Bahkan seragam sekolah kita adalah hasil kerja tangan pelajar. Ada pelajar yang menyambung pengajian di universiti tempatan turut membuat kerja sambilan menjahit di bengkel jahitan kami,” katanya.

Selain Rumah Anak Yatim Babun Najah, sumbangan Malaysia termasuk membangunkan rumah tahan-seismik untuk mangsa tsunami di Kampung Weu Raya dan Sebun Ayu di Loknga, Sekolah Umum Loknga dan pembinaan semula Pusat Kesihatan Komuniti Meuraxa, projek pembangunan Bangunan Program Akademi Jururawat Fakulti Kedoktoran Universiti Syiah Kuala ditaja sepenuhnya PETRONAS.

Pembinaan semula Pusat Kesihatan Masyarakat Panga di Aceh Jaya, Pusat Kesihatan Masyarakat Meuraxa, Akademi Dinas Kesihatan serta Akademi Perawat Jabatan Kesihatan Banda Aceh turut mendapat sumbangan dari Malaysia.

Beberapa lagi penempatan anak yatim dibina hasil sumbangan Malaysia antaranya Rumah Anak Yatim Johor di Banda Aceh, Rumah Anak Yatim Kayee Kunyit di Aceh Besar, Pusat Anak Yatim Daruzzahidin di Kuta Baro dan Pusat Anak Yatim Sukamakmur di Sibreh.

Rumah Anak Yatim Melaka di Desa Puni, Keutapang yang terletak di tengah ibu kota Banda Aceh pula dibina pada Januari 2005 dirasmikan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada 22 Disember 2005.

Disiarkan pada: December 22, 2014 @ 8:32am
d