mutakhir

'Tak sangka ia jadi tugasan terakhir'

Batu Pahat: Allahyarham Koperal Farouk Bahar, 29, baru empat hari bertugas di Lahad Datu, Sabah, sebelum trak tentera yang dinaiki bersama anggota lain terbalik di Jalan Nipah Tengah, sehingga meragut nyawanya, kelmarin.

Ayahnya, Bahar Mustafar, 63, berkata dia sekeluarga tidak menyangka pemergian anaknya ke Lahad Datu sejak Selasa lalu menjadi tugasan terakhir selepas berkhidmat sebagai seorang anggota pasukan misi pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Lubnan, dua bulan lalu.

Menurutnya, arwah menghubunginya kali terakhir pada Sabtu lalu bagi bertanya khabar serta memaklumkan sudah tiba di Lahad Datu sekali gus memohon mendoakan keselamatannya.

“Kami sekeluarga tidak menduga pemergian arwah ke Lahad Datu bagi memulakan tugas barunya empat hari lalu berakhir begini.

“Arwah anak yang baik, ceria, suka senyum, malah amat rapat dengan keluarga dan selalu pulang ke kampung.

“Lebih memilukan, hajat arwah untuk mendirikan rumah tangga selepas bertunang tiga minggu lalu dengan tunangnya, Adiatulawiah Othman, 21, juga tidak kesampaian.

“Kami sekeluarga reda dengan ketentuan Allah dan berharap roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Utama, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.45 pagi Sabtu itu, Farouk meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Lahad Datu kerana mengalami kecederaan parah di kepala, selepas trak yang dinaiki bersama 22 anggota 17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Disiarkan pada: December 22, 2014 @ 8:39am
d