mutakhir

Mahu ubat rindu selama 40 tahun

Johor Bahru: “Saya berhasrat bertemu dengan anak lelaki tunggal yang berpisah lebih 40 tahun lalu sempena hari lahir ini,” kata seorang penghuni Rumah Warga Emas Nur Ehsan, Senan Kelepok, 67, di sini, semalam.

Menurutnya, kali terakhir bertemu anak lelakinya dikenali sebagai Mohamad, ketika anaknya berusia kurang 10 tahun.

Katanya, ketika itu keluarganya tinggal di Rawang, Muar dan selepas berpisah dengan isterinya, dia tidak tahu ke mana mereka membawa diri.

“Hari ini (kelmarin), saya berhajat mahu menemuinya semula dan mengubati rindu lama terhadap anak tunggal saya itu.

“Saya pernah berusaha mengesannya (anak) sebelum ini, tetapi tidak berjaya,” katanya.

Dia berterima kasih kerana diraikan sempena hari lahir bersama beberapa penghuni di rumah itu yang turut menyambut ulang tahun kelahiran pada Disember.

Katanya, kehadiran sukarelawan dari Syarikat Western Digital (Malaysia) Sdn Bhd yang turut menyumbang kek juga menghiburkan penghuni di rumah itu.

“Kebanyakan kami yang sudah lama berpisah dan dibuang keluarga berasa bertuah apabila ada yang sudi mengunjungi kami di sini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Pengurus Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan Norijah Bidin berkata, pihaknya juga menerima pelbagai jenis sumbangan daripada Western Digital termasuk barangan elektrik dan tilam.

“Kami menghargai kunjungan wakil syarikat berkenaan selain sumbangan diberikan,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Kanan Western Digital Ed Casey dan Pengurus Sumber Manusia Western Digital Mohd Yazid Mohd Jainal.

Disiarkan pada: December 22, 2014 @ 8:46am
d