mutakhir

Palsukan nama kimia

Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan produk kosmetik tidak berdaftar jenama Glutax 3GS dan Glutax 4G Premium.

Kedua-dua produk yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa kawalan dadah KKM disahkan memalsukan nama kimia keluaran Syarikat Kyowa Hokko Bio Co. Ltd berpangkalan di Jepun.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk tidak berdaftar itu tidak dijamin daripada segi keselamatan dan boleh membahayakan kesihatan pengguna.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pembekal serta penjual produk itu. Tindakan rampasan akan dilakukan pihak KKM terhadap dua produk berkenaan mengikut Akta Jualan Dadah 1952.

“Mana-mana individu yang mengeluarkan, mengimport, menjual dan membekalkan produk jenama itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Manakala syarikat yang didapati bersalah melakukan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM50,000 bagi kesalahan pertama dan denda maksimum RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berhubung produk tidak berdaftar itu diminta menghubungi Bahagian Penguatkuasa Farmasi KKM di talian 03-78413200 atau menghanatar e-mel ke pharmacy1@moh.gov.my.

Disiarkan pada: December 23, 2014 @ 7:51am
d