mutakhir

Bekal latihan mencukupi

Kuala Lumpur: Setiap petugas teknikal Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dibekalkan dengan latihan mencukupi sebelum layak menggalas tugas menyelenggara dan mengawal selia sistem pembetungan awam di negara ini.

Pengurus Pembelajaran dan Pembangunan, Jabatan Modal Insan dan Pentadbiran IWK Lini Feisol berkata, sebagai sebuah syarikat pembetungan nasional dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan yang mengurus selia sistem pembetungan awam di negara ini, pihaknya mewajibkan setiap kakitangan mengurus selia sistem pembetungan awam menjalani kursus tertentu sebelum layak bertugas.

“Pelbagai kursus dianjurkan kepada kakitangan IWK seperti pengurusan loji pembetungan, kemasukan ke dalam ruang terkurung, pemeriksaan gas, kemahiran elektrikal dan mekanikal.

“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) IWK, sebelum seseorang kakitangan IWK dibenarkan memasuki ruang terkurung, pemeriksaan gas perlu dilakukan bagi memastikan kehadiran gas dan tahap keselamatan gas.

“Jika terdapat gas berbahaya dikesan di dalam ruang terkurung itu, langkah keselamatan selanjutnya perlu diambil bagi memastikan kakitangan tidak mengalami keracunan gas. Pemeriksaan rapi dilakukan sebelum kebenaran diberikan kepada kakitangan memasuki ruang terkurung itu,” katanya.

Menurutnya, kursus dan latihan dikendalikan Pusat Latihan Teknikal IWK di Bukit Jalil di mana ia mendapat pengiktirafan dan dipantau oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Disiarkan pada: December 23, 2014 @ 7:53am
d