mutakhir

Trend positif bayar bil

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Walaupun tahap kesedaran masyarakat melunaskan pembayaran bil khidmat pembetungan sudah mula menunjukkan perubahan positif, ia masih tidak dapat menampung jumlah kos operasi ditanggung oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Kadir Mohd Din berkata, pihaknya membelanjakan RM800 juta setahun bagi kos operasi termasuk menyelenggara sistem pembetungan awam seluruh negara serta rawatan air kumbahan menggunakan kaedah biologi paling murah berbanding negara luar yang kebanyakannya menggunakan sistem hibrid dan bahan kimia lebih mahal.

“Masyarakat kita patut bersyukur kerana kerajaan meringankan beban dengan memperuntukkan subsidi kepada perkhidmatan pembetungan awam ini sebanyak RM200 juta setahun, jika tidak mereka mungkin perlu membayar bil pembetungan sekali ganda daripada tarif sekarang yang hanya 27 sen sehari.

“Jika ramai masyarakat masih tidak mengambil peduli mengenai kepentingan membayar bil pembetungan yang hanya 27 sen sehari ini, bagaimana nasib kelestarian alam sekitar dan kesihatan awam kita nanti agaknya.

“Bayangkan setiap hari 65 juta liter air kumbahan diperoleh daripada 22 juta pengguna seluruh negara dan ia perlu dirawat dengan kadar segera kerana kelewatan akan mengakibatkan alam sekitar dan perairan kita tercemar.

“Malah, daripada jumlah itu 5 juta tan enap cemar juga dirawat dalam tempoh setahun dan ini semua memerlukan kos yang bukan sedikit dan bukan tugas mudah,” katanya.

Beliau berkata, pembayaran bil perkhidmatan pembetungan menampakkan trend positif sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun kutipan diperoleh IWK masih tidak dapat mencapai sasaran kos operasi.

“Peningkatan ini berlaku mungkin kerana pengguna di Malaysia sudah mula sedar kepentingan perkhidmatan pembetungan ini kesan daripada kempen dijalankan kami menerusi media cetak dan elektronik.

“Pihak kami akan terus berusaha mendekati mereka yang belum menjelaskan bil pembetungan melalui kempen, iklan, program komuniti dan pelbagai saluran lain supaya pengguna sedar perkhidmatan pembetungan ini memberi impak kepada kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar.

“Malah kami juga akan menerapkan kesedaran ini di peringkat awal persekolahan supaya generasi baru akan datang lebih peka dan menghargai sumbangan diberikan IWK dan pentingnya perkhidmatan pembetungan ini,” katanya.

Berkenaan tenaga kerja pula, Abdul Kadir berkata, operasi dikendalikan sepenuhnya rakyat tempatan, malah penerimaan pekerja masih lagi menggalakkan berikutan kesedaran mereka menganggap tugas mencabar ini sebagai satu pengorbanan serta ibadah untuk menjaga kesihatan awam dan memelihara alam sekitar.

“Tidak dinafikan tugas ini memang kotor dan mempunyai risiko tersendiri, sungguhpun begitu setakat ini pekerja komited menerima amanah diberikan namun perlukan sokongan dan kerjasama semua pihak terutama masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2014 @ 7:55am
d