mutakhir

'Selfie' produk Malaysia

Oleh Hamizah Badiran

Hanya dengan mengambil gambar ‘selfie’ bersama produk buatan Malaysia, orang ramai berpeluang memenangi hadiah keseluruhan wang tunai bernilai RM20,000 menerusi peraduan Jom Selfie! Produk Malaysia.

Peraduan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), yang memasuki minggu keempat ini, turut menawarkan hadiah wang tunai untuk 10 pemenang mingguan paling kreatif dan mendapat jumlah ‘like’ paling banyak.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) KPDNKK Datuk Azmi Lateh cara untuk menyertai peraduan ini amat mudah iaitu menghantar penyertaan foto selfie bersama barang tertera logo Buatan Malaysia, tetapi peserta dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang teknik pengubahsuaian pada logo berkenaan.

“Bagi memenangi hadiah mingguan tempat pertama wang tunai bernilai RM500, peserta disaran menggandakan kreativiti pada gambar selfie yang dirakam. Jangan sesekali meniru gaya dan konsep gambar peserta sedia ada.

“Syarat penyertaan yang menetapkan peserta bergambar selfie bersama produk tertera logo Buatan Malaysia untuk meningkatkan kesedaran orang ramai supaya menghargai barangan buatan tempatan,” katanya.

Peraduan Jom Selfie! Produk Malaysia sejajar dengan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) inisiatif KPDNKK bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat terhadap produk tempatan.

“Selain itu, peserta juga digalakkan bergambar selfie di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai seperti taman rekreasi, pusat beli-belah atau pasar raya. Secara tidak langsung, ia dapat menarik individu sekeliling untuk menyertai peraduan Jom Selfie! Produk Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi turut memaklumkan gambar selfie yang diambil bersama produk buatan Malaysia perlu dimuat naik dalam laman Facebook, ‘Malaysiaku Jenama Kita’. Ia sebagai syarat utama penyertaan sebelum muat naik gambar selfie peserta harus menekan butang ‘like’ pada laman Facebook berkenaan.

Sepanjang peraduan berlangsung tiga gambar selfie bertuah bakal memenangi hadiah istimewa apabila masing-masing bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Peraduan itu berlangsung dari 2 Disember hingga 28 Januari tahun depan. Untuk keterangan lanjut sila layari laman Facebook, ‘Malaysiaku Jenama Kita’ atau laman web www.kpdnkk.gov.my

Pemenang pertama minggu kedua Kamarul Hizam Zamanhuri, tempat kedua, Leong Chew Keong, ketiga, Zariah Zamaludin dan pemenang keempat, Hasmiyatun Abdul Hamid serta tempat kelima dimenangi Hidayat Masduki.

Manakala pemenang sagu hati Nur Qaidah Azyan Nornikman, Mohd Rafiq Ismail, Che Azyumi Aziz, Syahrelzal Mohd Salleh dan Aswandi Mohd Saim.

Disiarkan pada: December 23, 2014 @ 8:50am
d