mutakhir

Gembira dapat rumah baru

Aceh Jaya: Terpancar kegembiraan di wajah Nor Asiah Saro, 30, selepas mendapat bantuan kediaman lebih selesa di perumahan banglo batu setingkat di Kampung Kareung Ateuh, Lamnoe di Jalan Banda Aceh-Meulaboh, di sini.

Rumah bantuan Kanada kepada mangsa tsunami itu adalah antara sumbangan dunia kepada Aceh selepas kejadian gempa 26 Disember 2004 lalu yang menyebabkan lebih 500,000 keluarga hilang tempat tinggal selain kira-kira 200,000 lagi terkorban.

Nor Asiah berkata, dia antara yang beruntung mendapat rumah selesa untuk berteduh malah apa diperoleh itu lebih baik berbanding rumahnya yang musnah akibat tsunami sedekad lalu.

“Saya bersyukur tsunami tidak menyebabkan ahli keluarga saya terkorban walaupun rumah saya yang berdekatan pantai lenyap sama sekali.

“Ketika itu kami sekeluarga tiada di rumah. Saya hanya dapat tahu pada petang kejadian dan apabila kami pulang, kami dapati satu kampung lenyap.

“Kami diberikan rumah bantuan yang selesa. Selain rumah bantuan Kanada, di lapan desa berdekatan juga penduduk mendapat rumah disumbangkan Arab Saudi dan Turki,” katanya.

Dia memuji usaha kerajaan Indonesia dan negara lain di dunia untuk meningkatkan taraf sosioekonomi dan kesejahteraan sosial mangsa tsunami.

Kedatangan Harian Metro yang singgah sebentar sebelum meneruskan perjalanan dari Banda Aceh ke pusat gempa di Meulaboh, isteri kepada Jamaluddin Ie, 40, itu sedang bersantai dengan empat anaknya iaitu Mukhlis, 19, Marfinah, 17, Desi Risnawati, 8, dan Mohd Hidayat, tiga tahun.

“Kami juga mendapat bantuan kewangan untuk meringankan beban dalam meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2014 @ 9:12am
d