mutakhir

27,614 calon UPKK peroleh 8A

Putrajaya: Seramai 27,614 atau 15.29 peratus calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) di seluruh negara tahun ini berjaya memperoleh agregat 8A.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha berkata, keputusan itu mencatatkan peningkatan 3.1 peratus berbanding tahun lalu yang menyaksikan 22,608 atau 12.22 peratus calon mendapat 8A.

Beliau berkata, keputusan UPKK diumumkan semalam menunjukkan seluruh negeri dengan kelulusan 100 peratus berbanding tahun lalu iaitu 99.99 peratus.

“Calon paling ramai mendapat 8A dari Melaka iaitu 26.7 peratus diikuti Wilayah Persekutuan yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan (23.76 peratus) serta Sabah (21.71 peratus).

“Selain itu, Selangor (18.40 peratus), Terengganu (18.16 peratus), Negeri Sembilan (17.11 peratus), Perak (15.46 peratus), Pahang (15.15 peratus), Perlis (14.57 peratus), Kelantan (13.81 peratus), Kedah (13.45 peratus), Johor (12.62 peratus), Pulau Pinang (11.18 peratus) dan Sarawak (2.71 peratus),” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM Mohd Nordin Ibrahim.

Seramai 180,589 calon tahun enam dari sekolah rendah kebangsaan menduduki UPKK dikelolakan JAKIM pada 13 hingga 16 Oktober lalu.

Othman berkata, bagi kelulusan mengikut mata pelajaran pula, Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) dan amali solat masing-masing mencatatkan kadar lulus tertinggi iaitu 100 peratus diikuti bidang al-Quran 99 peratus.

Katanya, ia menjadi penanda aras kepada kejayaan murid dalam menguasai ibadat solat, tilawah al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, pencapaian mata pelajaran lain adalah Ulum Syariah lulus 85.55 peratus, Jawi (92.53 peratus), Sirah (82.70 peratus), Adab (88.98 peratus) dan Lughatul Quran (82.39 peratus).

“Mengenai prestasi keseluruhan pula, 180,589 calon atau 100 peratus lulus dan berbanding tahun lalu iaitu 185,050 calon atau 99 peratus tahun lalu.

“Pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional (GPN) untuk 2014 adalah 1.76 berbanding 1.86 tahun lalu, meningkat 0.1 mata,”katanya.

Beliau berkata, negeri terbaik dalam peperiksaan UPKK 2014 berdasarkan GPN adalah Wilayah Persekutuan dengan GPN 1.56, diikuti Selangor dengan 1.57 dan Melaka dengan GPN 1.59 mata,” katanya.

Othman berkata, pelaksanaan UPKK bertujuan menilai tahap kemahiran pelajar dan kebolehan murid dalam bidang pembacaan dan penghafazan al-Quran, amal ibadat serta cara hidup Islam.

Katanya, ia juga dijadikan nilai ukuran terhadap tahap pengetahuan dan kefahaman pelajar dalam aspek Ilmu Fardu Ain serta menilai tahap keberkesanan amalan asas cara hidup Islam dalam kalangan murid dan kemahiran membaca serta menulis jawi.

Disiarkan pada: December 23, 2014 @ 9:15am
d