mutakhir

Berkat hafal al-Quran

Oleh Balqis Jazimah Zahari dan Munirah Musthpar

Ipoh: Pelajar cemerlang Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah, di sini, yang mendapat keputusan 11A dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), mengakui amalan menghafal ayat suci al-Quran memudahkan dirinya menerima pelajaran, sekali gus memperoleh keputusan cemerlang.

Nurunnuha Muhammad Ismi, 15, mengakui berkat usaha bersungguh-sungguh turut mendorong kejayaannya itu walaupun peperiksaan percubaan hanya mendapat 5A.

“Apabila menjaga hubungan dengan Allah SWT, segala penyusunan menjadi mudah. Apabila saya mampu menghafal ayat suci (al-Quran) saya juga mampu menerima pelajaran dengan baik.

“Alhamdulillah, berkat belajar bersungguh-sungguh dan restu daripada ibu bapa, saya memperoleh kejayaan cemerlang ini,” katanya selepas mengambil keputusan peperiksaan itu di sekolahnya, semalam.

Rakannya yang mendapat 10A, Nur Basyirah Mortaza, 15, pula berkata, dia menerima cabaran selepas mendengar pelbagai khabar tidak baik mengenai penyusunan soalan peperiksaan PT3 yang lebih sukar berbanding peperiksaan biasa dan keputusan yang diterima juga mungkin buruk.

“Walaupun saya mendengar pelbagai khabar angin mengenai peperiksaan struktur baru ini, saya yakin dengan kelebihan guru dan bersemangat dengan sokongan diberi keluarga,” katanya yang bercita-cita menjadi doktor bidang neurologi.

Pengetua sekolah berkenaan, Noor Aini Zainal Abidin berkata, 22 pelajar sekolah itu mendapat keputusan 7A dan 28 pelajar mendapat lebih 6A.

“Berdasarkan keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu, kami menyasarkan separuh daripada 123 pelajar yang menduduki peperiksaan mendapat A, mungkin ada kejutan dengan struktur baru dan pihak sekolah akan duduk berbincang dan mengkaji semula perkara ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2014 @ 9:24am
d