mutakhir

Persiapan program 'Kembali ke Sekolah' berjalan lancar

Sik: Persiapan rapi giat dijalankan bagi memastikan Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2014 di Masjid Kampung Belantik, di sini, hari ini yang bertemakan ‘Kembali ke Sekolah’ serta kenduri rakyat dapat berjalan dengan lancar.

Ahli Parlimen Sik Dr Mansor Abdul Rahman berkata, lebih 1,000 penduduk setempat membabitkan 136 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari Parlimen Sik serta penduduk dari 15 kampung berdekatan dijangka hadir di pekarangan masjid berkenaan bagi memeriahkan program dan kenduri rakyat yang diadakan itu.

Katanya, program bermula jam 8 pagi dengan menyembelih seekor lembu diikuti dengan aktiviti melapah serta memasak secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.

“Penduduk kampung akan memasak tiga kawah gulai batang pisang yang sememangnya menjadi menu yang sinonim pada setiap majlis kenduri di daerah ini, di samping menu lain seperti sambal belacan, ikan masin dan telur dadar.

“Sebagai tuan rumah, saya berbesar hati dengan kesungguhan dan kesudian pihak TKHM untuk hadir ke kampung kami, sekali gus dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim antara penduduk bersama warga kerja Harian Metro.

“Siri perbincangan sudah dibuat sejak beberapa minggu yang lalu bagi menentukan kriteria penerima bantuan yang akan dipilih selain untuk memastikan program yang bakal diadakan ini berjalan dengan lancar,” katanya yang ditemui, di sini, semalam.

Dr Mansor berkata, pihaknya dengan kerjasama JKKK di setiap kampung berdekatan sudah mengenal pasti 12 rumah yang memerlukan bantuan.

“Selain itu, kami turut menyediakan senarai nama dan 150 murid sekolah rendah yang terdiri daripada mereka yang miskin atau anak yatim untuk dibawa membeli pakaian dan kelengkapan persekolahan di TESCO Sungai Petani.

“Semua penerima bantuan yang dipilih juga terdiri daripada mereka yang tidak pernah atau belum mendapat bantuan daripada mana-mana pihak sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menyediakan sebuah bas khas untuk membawa murid-murid ke sana memandangkan kebanyakan waris dan penjaga mereka tidak mempunyai kenderaan sendiri.

Disiarkan pada: December 24, 2014 @ 8:59am
d