mutakhir

Penantian 10 tahun

Bagan Serai: Lebih 1,000 penduduk Parit Abu Hassan, Alor Pongsu, di sini, berasa bertuah dan bersyukur apabila Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar, mengumumkan projek pembinaan surau baru menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM).

Ketua kampungnya Abdul Rahim Abd Wahab berkata, sebaik Datuk Mustapa (Omar) mengumumkan pembinaan surau baru itu dia menganggap perkara itu sebagai ‘durian runtuh’ buat penduduk yang menanti hampir 10 tahun untuk mendapat surau baru di kampung mereka.

Menurutnya, pihaknya pernah beberapa kali membuat permohonan membina baru surau itu kepada beberapa pihak berwajib, namun belum ada sebarang jawapan.

“Alhamdulillah dalam tempoh singkat kami dimaklumkan di dalam beberapa permohonan di Semenanjung, surau ini terpilih dalam program TKHM untuk dibina surau baru.

“Apabila Datuk Mustapa meluluskan projek terbabit di dalam ucapannya, perasaan hiba bercampur gembira dirasai penduduk apabila penantian selama lebih 10 tahun untuk melihat sebuah surau baru didirikan dimakbulkan,” katanya.

Seorang penduduk Ibrahim Saad, 61, bersyukur kerana pihak Harian Metro dapat membantu membina sebuah surau baru bagi kemudahan penduduk kampung itu.

“Kebanyakan jemaah di kampung ini agak berusia, malah kemudahan surau yang sedia ada sudah tidak sesuai lagi.

“Justeru, saya berbangga kerana pihak Harian Metro memilih surau di kampung ini untuk usaha murni itu,” katanya.

Bagi Penghulu Mukim Beriah Ahmad Firdaus Abdul Rahim pula, pemilihan surau itu bertepatan pada masanya kerana jemaah dan ahli jawatan kuasa surau antara yang aktif menjayakan pelbagai program.

Disiarkan pada: December 24, 2014 @ 9:00am
d