mutakhir

Aktif bayar RM6b

Oleh Munirah Musthpar

Ipoh: Seramai 71,471 daripada 119,474 individu yang mendaftar dengan Program Pengurusan Kredit (PPK) di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) kerana masalah hutang, aktif menguruskan kewangan mereka dengan bantuan agensi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir berkata, 71,471 yang aktif itu mempunyai hutang keseluruhan RM6 bilion.

Menurutnya, mereka mendapatkan bantuan AKPK bagi menguruskan hutang berkenaan serta mengelak tindakan undang-undang oleh pihak bank termasuk merampas kediaman mereka jika gagal melunaskan hutang berkenaan.

Katanya, setakat 30 November lalu, sebanyak 6,616 kes yang didaftarkan di bawah PPK berjaya diselesaikan dengan keseluruhan hutang diselesaikan itu sebanyak RM270.5 juta.

“Kebanyakan mereka berdepan masalah hutang dan tidak berupaya membayar balik pinjaman disebabkan oleh perancangan kewangan yang lemah dan tidak berbelanja mengikut kemampuan sendiri.

“Terdapat juga peminjam yang bermasalah disebabkan faktor luar jangka seperti masalah kesihatan, kematian pencari nafkah, kehilangan pekerjaan dan kegagalan perniagaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis AKPK Bersama Media di Pejabat AKPK Cawangan Ipoh, semalam.

Menurutnya, PPK bertujuan membantu peminjam merancang bajet sebagai panduan untuk menunaikan membayar hutang dan menguruskan perbelanjaan hidup, sekali gus mengurangkan pinjaman tidak berbayar (NPL) dan tindakan merampas rumah oleh pihak bank.

Sementara itu, Azaddin berkata, sebanyak 303,885 individu di negara ini sudah mendaftar dengan AKPK untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling pengurusan kewangan sejak dari 2006 sehingga November lalu.

Katanya, pihak AKPK turut menawarkan Program Pendidikan Kewangan bertujuan memupuk tabiat meminjam secara lebih bijak dan menggalakkan budaya pembayaran semula pinjaman secara konsisten dan teratur.

Katanya, AKPK yang ditubuhkan oleh Bank Negara menerima secara terbuka mana-mana individu yang ingin mendapatkan nasihat dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah percuma.

“Kita juga ada menerima laporan di mana ada di antara mereka yang mendapatkan bantuan melalui pihak ketiga yang mengenakan bayaran untuk mendapatkan perkhidmatan AKPK.

“Jadi saya berharap orang ramai peka dan tidak tertipu dengan pihak ketiga atau ejen yang menyamar sebagai ejen AKPK kerana pihak kami tidak pernah mengupah mana-mana ejen,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2014 @ 9:07am
d