mutakhir

Sentuhan hati bina keperibadian zuriat

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

Ada orang mengatakan pendekatan kaunseling dan psikologi kurang berkesan dalam mendidik anak sebaliknya perlu menggunakan hukuman rotan atau pukul agar memberikan kesan segera. Benarkah tanggapan sedemikian rupa?

Sekiranya kita tinjau sirah Nabi SAW, corak pendidikan digunakan adalah dengan kaedah lembut dan bersendikan kasih sayang bukannya penuh emosi dan kekerasan. Kita sebagai ibu bapa sepatutnya mencontohi pendekatan sama.

Mari kita ikuti kisah ini supaya sama-sama mendapat pengajaran daripadanya. Kisah ini diputarkan kembali bagi menunjukkan kepada kita betapa pendekatan secara halus melalui sentuhan hati mampu menjinakkan jiwa yang keras dan liar.

Di kota Madinah, dikatakan ada seorang pemuda bernama Zahir. Pemuda ini tidak disenangi oleh orang ramai kerana sikap dan wataknya yang keras. Malah, golongan sahabat juga dilaporkan mengambil sikap menjauhkan diri daripadanya.

Meskipun demikian, ia bukan alasan buat Rasulullah SAW tidak mendekatinya dan pada suatu hari baginda melihat pemuda terbabit di sebuah pasar.

Tanpa membuang waktu, Rasulullah SAW menghampirinya kemudian memegangnya rapat dari arah belakang.

Alangkah terkejutnya Zahir, lalu bertanya: “Siapa kamu...lepaskan aku!”

Seketika kemudian, selepas baginda melepaskannya dan barulah Zahir mengetahui orang itu adalah Rasulullah SAW.

Zahir juga menceritakan yang Rasulullah SAW kemudian membuka kedua-dua lengannya untuk menyapa dirinya.

Kata Zahir: “Aku berasa sangat bahagia saat itu kerana tubuhku bersentuhan langsung dengan tubuh Rasulullah SAW. Baginda memegang dan mengangkat tanganku. Sambil tertawa baginda berkata dengan kuatnya: ‘Ayuh, siapakah yang mahu membeli hamba ini?’”

Zahir terkejut dengan kata-kata Rasulullah SAW itu dan bertanya kepada baginda: “Kalau begitu, tuan menilaiku dengan harga yang murah, wahai Rasulullah!”

Sambil melemparkan senyuman, Rasulullah SAW segera menjawab: “Tetapi kamu adalah bernilai tinggi di sisi Allah.”

Maha Suci Allah! Begitu kasihnya Rasulullah SAW kepada umatnya. Betapa unggul dan agungnya cara pendidikan yang baginda gunakan.

Lihatlah saudara sekalian yang bergelar ibu bapa contoh ditunjukkan oleh seorang nabi dan rasul. Sentuhan kasih sayang dan kaedah lembut digunakan nyata meninggalkan kesan dalam menjinakkan hati yang keras.

Kita sebagai ibu bapa yang berdepan dengan kerenah anak setiap hari juga haruslah bijak mendekati mereka.

Sekeras mana pun perangai mereka, masih ada ruang untuk memperbetulkan dengan cara lembut iaitu tidak menyakitkan hati dan badan mereka.

Anak tiri Rasulullah SAW, Umar bin Abi Salamah ada bercerita: “Sewaktu aku kecil dulu, ketika masih diasuh oleh Rasulullah SAW, tanganku pernah ke sana ke mari untuk mengambil banyak makanan.

“Tabiatku itu dilihat oleh Rasulullah SAW, lalu baginda pun meletakkan diriku di pangkuannya.

“Kemudian baginda berkata: ‘Wahai anakku, jika kamu hendak makan, maka ucapkanlah basmallah. Makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang ada dekat denganmu.’”

Jadi, apa yang boleh kita pelajari daripada kisah itu? Mungkin bagi kita apabila menghadapi situasi sebegitu akan memarahi si anak, tetapi Rasulullah SAW menghadapinya dengan tenang.

Tidakkah kisah ini juga jelas menunjukkan sentuhan hati adalah senjata paling ampuh dalam membimbing anak kita?

Oleh itu, teladanilah sikap agung baginda SAW agar kita juga menjadi ibu bapa yang dapat membina keperibadian anak.

Ingatlah, anak kita sangat memerlukan sentuhan hati daripada ibu bapanya dan bukannya sentuhan rotan.

Dahulukanlah pendekatan yang lembut dengan bersendikan kasih sayang, insya-Allah segala kerenah dapat diatasi dengan berkesan.

Penulis pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Disiarkan pada: December 24, 2014 @ 9:08am
d