mutakhir

Enam daerah dinaiki air

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Kuantan: Keadaan banjir di negeri ini semakin buruk apabila enam daerah dinaiki air susulan hujan berterusan sejak Ahad lalu dan keadaan air pasang besar malam kelmarin.

Mengikut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga jam 8 malam tadi, seramai 8,193 mangsa banjir daripada 2,089 keluarga dipindahkan ke 80 pusat pemindahan sementara (PPS), meningkat hampir 10 kali ganda berbanding 821 orang daripada 226 keluarga di 13 PPS, kelmarin.

Menurutnya, Kuantan mencatatkan mangsa banjir paling ramai dengan 3,809 orang daripada 1,055 keluarga ditempatkan di 22 PPS, diikuti Maran (2,218 orang, 536 keluarga, 15 PPS) dan Lipis (1,104 orang, 277 keluarga, 18 PPS).

Jerantut (621 orang, 124 keluarga, 17 PPS), Rompin (258 orang, 59 keluarga, tiga PPS) dan Pekan (183 orang, 38 keluarga, lima PPS).

Timbalan Pengawal Pusat Kawalan Operasi Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah Maran Asisten Superintendan Mazlan Mat Daud berkata, mangsa banjir di Maran dipindahkan secara berperingkat-peringkat sejak malam kelmarin.

Menurutnya, pihaknya menjangka bilangan mangsa bertambah berikutan hujan lebat masih melanda daerah itu.

“Berdasarkan laporan Jabatan Pengaliran dan Saliran Daerah Maran berlaku trend peningkatan paras air di beberapa sungai utama di daerah ini.

“Bagaimanapun pusat kawalan operasi banjir daerah sentiasa bersiap siaga bersama jabatan lain, tentera, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mangsa banjir,” katanya

Katanya, antara pusat pemindahan banjir ialah Masjid Kampung Luit, Kampung Bak-Bak, Kampung Kuala Sentol, Taman Sri Chedung, Taman Maran Jaya, Kampung Bukit Kuin, Felda Jengka 14 dan Kampung Ulu Luit.

Beliau berkata, jalan lama Kuantan-Maran di kawasan Jambatan Belimbing hanya boleh dilalui kenderaan berat, jalan lama Maran-Jerantut ditutup kepada semua kenderaan manakala Lebuh Raya Pantai Timur ( LPT) boleh dilalui seperti biasa.

“Kami sentiasa mengawasi paras air Sungai Maran, Sungai Chedung dan Sungai Sri Jaya berikutan hujan lebat masih lagi berterusan petang ini (semalam),” katanya.

Bandar Maran turut dinaiki banjir air pagi semalam tetapi pulih dalam jangka masa singkat.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat merah bagi daerah Kuantan, Jerantut, Maran, Pekan dan Rompin yang berterusan hingga hari ini.

Keadaan angin diramalkan berkelajuan antara 60 sehingga 70 kilometer sejam selain keadaan laut bergelora yang mencapai ketinggian ombak setinggi 5.5 meter.

Disiarkan pada: December 24, 2014 @ 9:59am
d