mutakhir

102 pelancong terkandas

Oleh Roselan Ab Malek

Jerantut: Seramai 102 pelancong tempatan dan asing yang bercuti di Mutiara Taman Negara Kuala Tahan dekat sini, terkandas selepas paras air Sungai Tembeling naik mendadak menyebabkan resort berkenaan dinaiki air setinggi lebih satu meter.

Pengurus Perhubungan Pelanggan Mutiara Taman Negara Sabri Abdullah berkata, paras air Sungai Tembeling naik mendadak dengan keadaan air sungai lebih tinggi berbanding banjir besar pada 1971.

“Pada masa ini, seramai 20 pelancong tempatan dan selebihnya pelancong luar negara dari Perancis, Jerman, Sweden, Australia, Emiriah Arab Bersatu, Kanada, Romania, Belgium, Norway dan Republik Czech terkandas.

“Mereka tidak dapat dibawa ke Jerantut berikutan jalan dinaiki air atau tidak boleh dilalui kenderaan. Jadi, agak berbahaya jika mahu menggunakan bot kerana air terlalu deras,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, keadaan bertambah buruk apabila bekalan makanan terputus berikutan restoran di resort berkenaan juga dinaiki air, selain terputus bekalan elektrik dan air.

“Kita sudah membuat laporan kepada Bilik Gerakan Banjir Daerah Jerantut mengenai keadaan pelancong yang terkandas dan memohon bantuan pasukan tentera untuk memindahkan mereka ke kawasan selamat,” katanya.

Ahli Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris berkata, pihaknya mengarahkan pengurusan resort berkenaan menjaga kebajikan pelancong yang terkandas dengan menyediakan tempat tinggal selamat serta makanan.

“Pada masa ini, kami tidak dapat membawa keluar mereka kerana risikonya tinggi sama ada melalui jalan darat atau sungai kerana air semakin naik, banjir kali ini lebih besar berbanding pada 1971.

“Buat masa ini, yang penting ialah keselamatan mereka, makanan dan bekalan perubatan dan membawa mereka keluar sebaik keadaan selamat,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2014 @ 10:40am
d