mutakhir

Rumah hanyut lepas 2 jam randuk air

Gua Musang: “Saya nampak rumah hanyut dibawa arus deras. Ketika itu, kami baru dua jam meranduk air banjir menuju ke masjid terdekat untuk menyelamatkan diri,” kata Mat Ali Isa, 37, mangsa banjir dari Kampung Serian di sini.

Dalam kejadian 8 pagi semalam, Mat Ali bersama isteri dan lima anak sempat menyelamatkan diri dengan mengharung banjir ke Masjid Kampung Serian tidak jauh dari rumah mereka.

Menurutnya, mereka sekeluarga berpindah bersama empat keluarga lain membabitkan hampir 50 mangsa selepas air naik mendadak akibat limpahan Sungai Galas, Nenggiri dan Lebir.

Katanya, sebaik memasuki pekarangan masjid yang terletak di kawasan tinggi, dia nampak rumahnya bergoyang, namun tiupan angin yang kuat menyebabkannya hanyut dibawa arus deras.

“Selain rumah kami, tiga lagi rumah turut dihanyutkan. Ini kejadian banjir terburuk pernah berlaku.

“Namun, saya bersyukur kerana keluar awal dari rumah dan sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Imam Masjid Kampung Serian Azman Madmood, 44, yang turut kehilangan rumah mengakui pengalaman menghadapi banjir kali ini begitu mencabar.

Menurutnya, dia runsing memikirkan kemungkinan membina rumah baru disebabkan rumah sedia ada hilang.

Bagaimanapun, katanya, dia menerima kejadian itu sebagai ujian Allah yang mengandungi hikmah tersendiri.

“Kami memang menjangkakan banjir besar akan berlaku kerana hujan lebat yang tak berhenti sejak dua hari lalu.

“Namun, tak sangka sampai rumah pun dihanyutkan. Apa pun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat,” katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2014 @ 10:42am
d