mutakhir

'Fenomena air pasang kali ini lebih tinggi'

Kuala Terengganu: Fenomena air pasang besar yang melanda negeri ini sejak malam kelmarin adalah fenomena biasa tetapi disifatkan agak tinggi berbanding sebelum ini sekali gus menyebabkan banjir di Terengganu semakin buruk.

Fenomena air pasang besar yang datang serentak dengan musim tengkujuh di negeri ini menyebabkan banyak kawasan termasuk jalan raya yang menjadi laluan utama selain lokasi tumpuan pelancong seperti Pasar Besar Kedai Payang, Pantai Batu Buruk dan Pantai Kelulut dilitupi sampah-sarap dan mengalami kemusnahan harta benda.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pantai di negeri ini mendapati kawasan di pesisir pantai dipenuhi sampah batang dan dahan kayu selain beberapa jalan utama tidak boleh dilalui kenderaan kerana dinaiki air serta hakisan pantai.

Keadaan air pasang dan hujan lebat yang berlaku menyebabkan jumlah mangsa meningkat kepada 15,038 orang terdiri daripada 3,596 keluarga yang dipindahkan ke 102 pusat pemindahan sehingga jam 7 malam semalam berbanding hanya 6,023 mangsa (1,623 keluarga) di 63 pusat pemindahan kelmarin.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Gong Kedak Besut Jenuwa Husin berkata, malam semalam dan malam ini adalah kemuncak air pasang besar di Terengganu apabila paras air diramal mencecah setinggi 3.19 meter berbanding paras biasa kurang satu meter.

Menurutnya, fenomena yang bermula malam kelmarin diramalkan berterusan hingga 27 Disember.

“Malam ini (semalam) dan esok (hari ini) dijangka kemuncak air pasang besar dengan ketinggian paras air dijangka sehingga 3.19 meter, berbanding 2.17 meter malam semalam (kelmarin).

“Fenomena air pasang besar yang berlaku berikutan peningkatan paras laut bertambah buruk apabila bertembung dengan musim tengkujuh,” katanya.

Beliau berkata, fenomena yang disifatkan peningkatan paras air yang tertinggi tahun ini dijangka berakhir secara perlahan bermula Sabtu ini.

Disiarkan pada: December 24, 2014 @ 10:44am
d