mutakhir

Telentang bawah runtuhan

Oleh Omar Osman dan Zuliaty Zulkifli

Gurun: “Saya terkejut mendengar letupan kuat di belakang rumah sebelum bergegas keluar rumah untuk melihat apa berlaku. Alangkah terkejut melihat banyak rumah rosak teruk akibat letupan itu.

“Saya beranikan diri masuk ke rumah kawan dan melihat mangsa (Sharifah Haslinda) parah dalam keadaan telentang dan berlumuran darah, manakala kakinya ditimpa runtuhan dinding konkrit, sementara muka serta badan mangsa terbakar hampir 90 peratus,” kata Siti Nursuzila Abdul Razak, 30.

Siti Nursuzila jiran kepada mangsa yang rumah mereka digegarkan dengan letupan kuat dipercayai sejenis bahan letupan di Taman Mesra Ria, di sini, menyebabkan 11 rumah turut terjejas teruk dalam kejadian, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang, mangsa, seorang anggota tentera, Koperal Ayub Hashim, 37, maut selepas tercampak sejauh 17 meter dari tempat kejadian dipercayai berpunca dari rumahnya.

Turut maut anaknya, Nur Idayu Shahira, 8, manakala isterinya, Sharifah Haslinda Hashim 37, dan anak mereka, Mohd Idham Shahmi, 5, parah dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

Turut maut anak jiran mangsa, Mohd Akif Lokman Mohd Shahrizal, 5, manakala ibunya, Zuraidah Mat Rotbi, 30, parah akibat letupan berkenaan.

Letupan itu turut memusnahkan 10 rumah, manakala 34 lagi rumah mengalami kerosakan kecil.

Difahamkan, Ayub yang bertugas sebagai tentera di Unit Lapang Sasar, Kem Hobart, Gurun dipercayai menyimpan bahan letupan itu di rumahnya.

Siti Nursuzila berkata, dia terkejut melihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan tidak menyangka dia kawan baiknya sendiri.

“Saya sempat memangku Sharifah (Haslinda) sementara menunggu bantuan tiba... saya tergamam melihat keadaan mangsa serta keadaan rumah mereka yang musnah teruk.

“Saya memang tidak menyangka bunyi letupan itu dari bahan letupan yang disimpan dalam rumah mangsa,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Ahmad Shahabuddin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan letupan berlaku di sebuah rumah di Taman Ria Mesra, di sini, yang mengorbankan tiga beranak petang tadi berpunca daripada sejenis bahan letupan.

Beliau berkata, ia susulan keadaan lokasi kejadian termasuk impak letupan yang dikesan pihaknya ketika melakukan kerja pemadaman sebaik tiba di lokasi kejadian jam 4.57 petang.

“Ketika menjalankan pemeriksaan, kami mengenal pasti impak yang cukup kuat terutama kesan kesan lubang pada dinding rumah terbabit yang diyakini berpunca daripada bahan letupan dan bukannya letupan tong gas memasak seperti yang didakwa.

“Buat masa, sekarang kita masih menjalankan siasatan dan sudah meminta bantuan daripada Skuad Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memeriksa lokasi kejadian kerana khuatir masih ada bahan letupan di dalam rumah terbabit,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Asisten Komisioner Nashir Ya pada sidang media malam tadi mengesahkan kejadian itu dan anggota tentera itu dipercayai menyimpan sejenis bom tangan di rumahnya.

“Polis masih menyiasat jenis bom yang digunakan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan dan mati mengejut,” katanya.

Disiarkan pada: December 25, 2014 @ 3:01am
d