mutakhir

Perintah berkurung fasa ke-11

Kota Kinabalu: Perintah berkurung di Pantai Timur Sabah kini memasuki fasa ke-11 selepas dilanjutkan bermula hari ini hingga 9 Januari depan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, keputusan itu bagi memastikan keselamatan perairan di kawasan itu terpelihara selain kesejahteraan penduduk dan pelancong asing terjamin.

“Perintah berkurung yang dilaksanakan sejak lima bulan lalu membolehkan keadaan di sekitar Pantai Timur negeri lebih terkawal.

“Ia memudahkan tugas penguatkuasaan dilakukan terutama memantau pergerakan bot yang cuba menceroboh atau melakukan jenayah rentas sempadan.

“Dalam masa sama, lanjutan perintah ini dapat mengatasi penyeludupan yang berlaku di Pantai Timur negeri ini,” katanya menerusi kenyataan media.

Perintah berkurung mula diperkenalkan pada 19 Julai lalu membabitkan jarak tiga batu nautika dari pantai membabitkan Daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan dan Sandakan.

Menerusi perintah itu, tiada sebarang aktiviti laut dibenarkan bermula jam 7 malam hingga 5 pagi setiap hari.

Disiarkan pada: December 25, 2014 @ 3:01am
d