mutakhir

Bekalan makanan habis

Kuantan: Hanya ada satu kedai runcit di kampung ini dan kebanyakan barang keperluan sudah habis berikutan tidak dapat menampung permintaan.

“Mahu atau tidak kami terpaksa menggadai nyawa menaiki bot untuk keluar dari kampung bagi membeli bekalan makanan selepas jalan masuk utama ke kampung ditenggelami air,” kata Ketua Kampung Bukit Kuin 2, Sungai Lembing di sini, Alias Hamzah.

Kira-kira 1,000 penduduk di kampung berkenaan terputus hubungan dengan dunia luar selepas Jalan Sungai Lembing yang juga jalan utama ke kampung itu ditenggelami air sedalam dua meter sejak Isnin lalu.

Tinjauan Harian Metro di jambatan Sungai Riau mendapati kebanyakan penduduk meletakkan kenderaan masing-masing berhampiran sungai dan menaiki bot untuk pulang ke rumah mereka selepas membeli barang keperluan di bandar ini.

Alias berkata, ada tiga jalan masuk ke kampung itu dinaiki air dan tidak boleh dilalui semua kenderaan hingga menyukarkan proses menghantar bekalan makanan ke beberapa perkampungan termasuk Sungai Lembing.

“Walaupun kejadian banjir dihadapi hampir setiap tahun, namun paras air yang meningkat mendadak membuatkan kami tidak sempat membuat persiapan termasuk menyimpan bekalan makanan.

“Justeru, kita memohon kerajaan membantu penduduk dengan menyediakan bot atau menghantar bekalan makanan seperti dilakukan pada musim banjir tahun lalu menggunakan helikopter,” katanya ketika ditemui, semalam.

Seorang penduduk, Mohd Johari Awang Sazali, 30, berkata, penduduk tidak mempunyai pilihan untuk membeli barangan makanan dan terpaksa ke bandar menggunakan bot.

“Memang masih ada sedikit makanan di rumah, tetapi saya ambil langkah berjaga-jaga dengan menambah stok barangan keperluan. Saya bimbang kalau banjir semakin buruk memandangkan hujan lebat berterusan.

“Mahu atau tidak, kita terpaksa menggunakan bot. Mereka yang ada bot mungkin mudah, tetapi yang tiada terpaksa membayar RM5 untuk menaiki bot ‘penambang’,” katanya.

Menurutnya, walaupun perjalanan hanya mengambil 10 minit, namun agak menggerunkan kerana arus banjir yang kadang-kala deras disusuli hujan selain kebimbangan tersangkut pada pokok.

“Jika tidak mahir mengendalikan bot dalam keadaan seumpama itu, mungkin bot boleh terbalik, sekali gus membahayakan nyawa penumpang seperti sering berlaku pada musim banjir,” katanya.

Disiarkan pada: December 25, 2014 @ 3:05am
d