mutakhir

Terperangkap 48 jam

Jerantut: “Saya sudah mengetahui awal lagi yang kunjungan ke Taman Negara ketika musim monsun, tetapi sama sekali tidak menyangka menjadi mangsa banjir apabila terkandas selepas air Sungai Tembeling melimpahi tebing,” kata pelancong dikenali sebagai Serge, 32, yang diselamatkan dari Mutiara Resort Taman Negara, Kuala Tahan di sini, semalam.

Dia antara 102 pelancong yang terkandas di resort itu sejak Isnin lalu sebelum dipindahkan dengan bot bomba ke Sekolah Menengah Kebangsaan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuala Tahan secara berperingkat mulai jam 2 petang semalam.

Serge yang kali pertama berkunjung ke negara ini bersama tiga anaknya berkata, pengurusan resort sentiasa memastikan keperluan mereka mencukupi sepanjang lebih 48 jam terperangkap.

“Ini menjadi pengalaman paling berharga sepanjang berkunjung ke negara asing,” katanya ketika ditemui, semalam.

Seorang lagi pelancong, Lanchni, 28, dari Perancis berkata, dia dan suami serta dua anak mereka tidak bimbang dengan keadaan banjir kerana yakin pihak berkuasa berusaha memindahkan mereka segera.

“Ini kerana, saya yakin rakyat negara ini amat prihatin dan baik hati. Peristiwa ini tidak membuatkan kami serik untuk berkunjung lagi ke sini, pada masa akan datang,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan, 120 orang termasuk 102 pelancong tempatan dan asing di Mutiara Taman Negara Kuala Tahan terkandas selepas paras air Sungai Tembeling naik mendadak menyebabkan resort berkenaan dinaiki air lebih satu meter.

Pelancong terbabit meliputi Perancis, Jerman, Sweden, Australia, Emiriah Arab Bersatu, Kanada, Romania, Belgium, Norway dan Republik Czech terkandas.

Sementara itu, Pegawai Daerah Jerantut Ali Syahbana Sabaruddin berkata, usaha memindahkan pelancong itu menggunakan bot pelancong dan empat bot bomba.

Bagaimanapun, katanya, usaha memindahkan pelancong itu ke bandar Jerantut menggunakan helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia dan bomba tidak dapat dilakukan kerana cuaca buruk.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya memberi jaminan terhadap keselamatan pelancong terbabit sementara mereka ditempatkan di pusat pemindahan.

“Jika keadaan mengizinkan dan cuaca baik, semua pelancong terbabit akan diterbangkan dengan helikopter ke bandar Jerantut pagi esok (hari ini),” katanya.

Difahamkan, selepas itu, mereka akan menaiki bas menuju ibu negara.

Disiarkan pada: December 25, 2014 @ 3:05am
d