mutakhir

Kelantan tak terputus hubungan

Kota Bharu: Kelantan masih boleh dihubungi dunia luar meskipun beberapa jalan utama untuk keluar masuk ke negeri ini dilanda kejadian tanah runtuh.

Antara yang kritikal ialah di Kilometer 63, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Grik-Jeli selain runtuhan kritikal dilaporkan di Kilometer 11, Jalan Lojing-Blau-Kuala Betis di Gua Musang.

Ia disahkan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim yang memberitahu laluan darat ke Kelantan di sebelah utara terputus berikutan tanah runtuh di JRTB.

Selain itu, beberapa laluan menghubungkan antara daerah khususnya Kuala Krai dan Gua Musang turut tenggelam dinaiki air.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Thajudeen Abdul Wahab berkata, hanya menerusi Kuantan dan Kuala Terengganu yang masih baik untuk dilalui kenderaan yang mahu keluar dan masuk ke Kelantan.

“Kelantan tak putus hubungan luar, cuma beberapa jalan bermasalah sedikit iaitu di Kuala Lipis dan Jeli, tetapi akses keluar masuk masih boleh dilalui dari Kuantan dan Kuala Terengganu.

“Malah, laluan udara masih beroperasi dengan baik. Jadi tak benar kata Kelantan terputus hubungan, keadaan tidak begitu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sebaran maklumat yang tidak sahih mengenai situasi banjir di Kelantan hanya memburukkan keadaan dan mengganggu kerja menyelamat mangsa.

Beliau turut memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak memandai-mandai menyebar maklumat kurang tepat terutama melalui laman sosial.

“Kita akan minta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat penyebaran maklumat palsu ini tapi tumpuan kita sekarang menyelamatkan mangsa,” katanya.

Disiarkan pada: December 25, 2014 @ 3:06am
d