mutakhir

'Datuk' kena dakwa

Oleh Yusmawati Mhd Yusof

Melaka: Seorang lelaki yang menyamar menggunakan gelaran Datuk memperdaya lapan mangsa di negeri ini sehingga kerugian lebih RM350,000 sejak tujuh tahun lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh V Vickness, 31, dari Taman Bukit Beruang, di sini, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh terhadap 12 pertuduhan menipu tiga orang membabitkan nilai RM62,500.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga keempat, dia didakwa memperdaya Datuk Dr A Senasi, 67, membabitkan pembelian empat kereta mewah yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa memasukkan wang RM43,000 ke dalam akaun tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank Cawangan Melaka Raya, Maybank Cawangan Jalan Hang Tuah dan Maybank Cawangan Bukit Cina antara 25 Jun hingga 17 Julai 2014.

Bagi pertuduhan kelima hingga kesembilan, dia didakwa memperdaya Ricky Chang Siang Sin, 28, membabitkan pembelian 20 unit komputer riba dan dua kereta yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM9,500 kepadanya di depan CIMB Bank Cawangan Bukit Baru, Maybank Cawangan Ayer Keroh, Public Bank Cawangan Ayer Keroh dan Medan Selera Bukit Beruang antara 13 Januari hingga 28 Januari 2007.

Bagi pertuduhan ke-10 hingga 12, dia didakwa memperdaya Twinny Wooi Chuan Peng, 61, membabitkan pembelian Mercedes-Benz E250 yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa memasukkan wang RM10,000 ke akaun tertuduh di CIMB Bank Cawangan Ayer Keroh masing-masing pada 30 dan 31 Julai 2014.

Bagi semua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Muhamad Juhari Haron yang mengendalikan kes, menawarkan jaminan RM60,000, tetapi peguam Farid Aziz yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan.

Mohd Firdaus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Januari sebagai tarikh serahan dokumen bagi pertuduhan pertama hingga kesembilan dan 2 Februari untuk pertuduhan ke-10 hingga ke 12.

Keterangan Gambar:

PIX 1: TERTUDUH mengaku tidak bersalah.

Disiarkan pada: December 27, 2014 @ 9:51pm
d