mutakhir

6,293 mangsa terjejas

Ipoh: Kejadian banjir di Perak tidak menunjukkan penurunan, sebaliknya semakin buruk dengan jumlah mangsa meningkat kepada 6,293 orang membabitkan 1,568 keluarga.

Sehingga jam 6 petang semalam, daerah Perak Tengah menunjukkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 3,113 mangsa (796 keluarga) dipindahkan ke 19 pusat pemindahan.

Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Norhafizah Zainuddin berkata, 51 pusat pemindahan di tiga daerah di Hulu Perak, Perak Tengah dan Kuala Kangsar dibuka untuk menempatkan mangsa banjir.

Katanya, jumlah mangsa banjir di daerah Kuala Kangsar menurun kepada 2,587 mangsa berbanding 2,842 mangsa kelmarin, selepas banjir mulai surut pagi semalam.

“Terdapat 24 pusat penempatan di Kuala Kangsar masih dibuka selepas tiga pusat pemindahan iaitu Dewan Orang Ramai Semai Bakti Felda Lasah, Dewan Orang Ramai Jarau dan Dewan Orang Ramai Temong Hilir ditutup pagi semalam.

“Di Hulu Perak, banjir di Lenggong menyebabkan 593 mangsa daripada 147 keluarga dipindahkan ke 10 pusat pemindahan,” katanya.

Norhafizah berkata, daerah Perak Tengah membuka tiga lagi pusat penempatan di Dewan Orang Ramai Parit 13, Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah dan SMK Raja Nazreen Kampung Gajah selepas air masih naik berikutan hujan berterusan.

Katanya, kebanyakan mangsa ialah penduduk di Bota Kiri, Bota Kanan, Lambor Kiri, Lambor Kanan, Blanja, Kampung Gajah, Pasir Salak, Parit, dan Layang Kiri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintendan Leong Ah Kow berkata, pihaknya mengadakan pemantauan di setiap lokasi berisiko banjir dengan bantuan pelbagai agensi.

Menurutnya, jalan yang masih ditutup kepada kenderaan ringan ialah Jalan Sadang ke Parit, Jalan Sungai Korok ke Changkat Banjar, Jalan Selat ke Teluk Sena, Bota Kanan-Teluk Intan (Lambor Kanan), Jalan Parit-Siputeh, Telok Bakong ke Kampung Gajah.

Disiarkan pada: December 27, 2014 @ 9:53pm
d