mutakhir

Solat hajat mohon sejahtera

Kuala Lumpur: Susulan bencana banjir membabitkan beberapa buah negeri di Pantai Timur, termasuk Perak, Perlis dan Johor, Masjid Negara mengadakan majlis solat sunat hajat memohon kesejahteraan mangsa banjir dari bencana itu.

Solat diadakan sejurus solat Jumaat itu diimamkan oleh Ustaz Mohd Zuhairee Mohd Yatim dan dihadiri lebih dari 1,000 jemaah termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Dalam solat itu, jemaah berdoa ke atas kesejahteraan mangsa banjir yang menantikan bantuan kemanusiaan daripada pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha berkata, musibah yang berlaku ini peluang umat Islam bermuhasabah diri dengan apa yang sudah terjadi.

“Kami memohon kepada Allah SWT supaya mangsa banjir di Pantai Timur dan negeri lain tabah menghadapi musibah ini dan kami juga mendoakan pasukan penyelamat yang berusaha membantu mangsa banjir ini berada dalam keadaan sihat dan selamat agar mereka dapat menjalankan tugas dengan sempurna,” katanya selepas selesai solat sunat hajat, di sini, semalam.

Othman menambah semua pihak digesa supaya lebih berhati-hati dalam menerima maklumat yang tidak berasas berkenaan situasi banjir yang melanda ini.

“Kami harap mereka dapat maklumat yang sahih dan sudah disahkan oleh pihak berkuasa kerana penyebaran sebarang maklumat tidak berasas hanya akan memburukkan dan mencemaskan keadaan yang berlaku,” katanya.

Beliau menjelaskan setiap kutipan derma dari setiap masjid bawah kelolaan JAKIM atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang sedang digerakkan pada waktu ini akan disumbangkan kepada mangsa banjir di negeri yang terbabit dalam bencana itu.

“Saya juga yakin bahawa sahabat saya dari jabatan dan majlis agama Islam negeri lain akan dapat berbuat demikian,” katanya.

Dalam solat Jumaat sebelum itu, khutbah yang dibacakan oleh khatib, Muhammad Nuraizat Zainudin turut menyentuh sedikit mengenai musibah banjir yang berlaku adalah ujian yang diturunkan oleh Allah SWT untuk menguji hambaNya supaya menjadi mukmin yang bertakwa dan sabar.

Disiarkan pada: December 27, 2014 @ 9:56pm
d