mutakhir

Pembantu tadbir jutawan segera

Kuala Lumpur: “Pada mulanya saya ingatkan gurauan, tetapi selepas ada pegawai Bank Simpanan Nasional (BSN) menghubungi saya, barulah saya percaya panggilan RM1 juta itu adalah benar,”

Itulah kegembiraan yang tergambar buat seorang pembantu tadbir Kementerian Pertahanan Malaysia, Wan Norisham Pa’ Wan Chik yang memenangi Cabutan Istimewa Sijil Simpanan Premium (SSP) bernilai RM1 juta anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Saya masih tiada perancangan untuk menggunakan wang kemenangan ini untuk jangka masa panjang, namun dalam masa terdekat ini saya ingin gunakannya untuk perbelanjaan persekolahan anak dan menunaikan haji bersama isteri tahun depan,” katanya kepada pemberita di sebuah pusat membeli belah di Wangsa Maju, di sini, semalam.

Beliau yang hadir bersama isterinya, Rozita Daid, 40, pada cabutan itu merasakan bahawa kemenangan ini banyak disumbangkan dengan usaha 10 tahunnya yang sering menyimpan wang dalam SSP.

“Ini juga adalah rezeki anak-anak kerana pada Jumaat lalu saya menerima perkhabaran gembira bahawa salah seorang anak saya berjaya melanjutkan pelajaran di asrama penuh,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Ketua Jabatan Kewangan BSN, Frederick Siew Kin Meng berkata BSN akan terus memastikan produk SSP bukan saja menawarkan hadiah yang menarik, malah akan sentiasa akan mempelbagaikan bentuk cabutan dari masa ke semasa.

“BSN sudah memberikan perkhidmatan terbaik kepada segenap lapisan masyarakat dan tahun ini adalah ulang tahun BSN yang ke-40. BSN akan terus bersemangat dan komited untuk menawarkan pelbagai produk inovatif dan perkhidmatan berkualiti untuk menepati kehendak pelanggan,” katanya.

Bagi tahun hadapan, BSN menawarkan lebih 88,000 hadiah dengan jumlah nilai keseluruhan melebihi RM18 juta di mana hadiah ditawarkan dalam cabutan SS 2015 adalah kenderaan mewah BMW, Mercedes serta Perodua Axia.

Disiarkan pada: December 28, 2014 @ 5:05am
d