mutakhir

Rindu keletah anak

Oleh Nur Syazwana Mansor

Sik: Seorang ibu begitu merindui keletah lincah dan periang anak perempuannya yang kini hanya terlantar selepas disahkan menghidap barah tulang sejak Mei lalu.

Penyakit terbabit turut menyebabkan anak keempat daripada lapan beradik, Ainul Fatini Mat Isa, 12, kerap menangis akibat kesakitan dialami.

Ibunya, Siti Zainab Othman, 39, dari Kampung Charok Tualang di sini, berkata, penyakit itu mula dikesan selepas Ainul Fatini kerap mengadu sakit kaki dan sering menangis pada siang serta malam akibat kesakitan.

“Pada mulanya, saya bimbang kaki Ainul Fatini patah kerana dia pernah terjatuh daripada motosikal sebelum ini.

“Bagaimanapun, pemeriksaan sinar-X di Hospital Gerik, Perak mendapati dia tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Siti Zainab berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Tabung Prihatin Ainul Fatini yang disempurnakan Ahli Parlimen Sik Dr Mansor Abdul Rahman di rumah sewa keluarga wanita berkenaan di sini, kelmarin.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran tiga artis veteran tanah air iaitu Kartina Aziz, Norlia Ghani dan Halimaton Saadiah @ Mak Wan yang diketuai bekas pengasas Persatuan Karyawan Malaysia Datuk Seri Zaienal Abidin Omar.

Bagaimanapun, menurut Siti Zainab, anaknya tetap mengadu sakit setiap hari sebelum dia dihantar untuk menjalani pemeriksaan sinar-X buat kali kedua.

“Hasilnya, pada pemeriksaan sinar-X kali ketiga, barulah pihak hospital menemui satu kesan bengkak pada tulang pinggul Ainul Fatini.

“Ainul Fatini kemudian dihantar ke Hospital Taiping sebelum doktor pakar mengesyaki kemungkinan ada ketumbuhan pada tulang pinggulnya dan dia dirujuk pula ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, Selangor sebelum disahkan menghidap barah tulang tahap empat,” katanya.

Menurutnya, dia sukar menerima hakikat selepas dimaklumkan mengenai penyakit anaknya dan cuba menafikannya memandangkan Ainul Fatini baru saja mengadu sakit kurang sebulan sebelum itu.

Sementara itu, Dr Mansor berkata, pihaknya melancarkan tabung berkenan untuk mengumpul sumbangan bagi meringankan beban Siti Zainab yang perlu menanggung kos perubatan dan sara hidup anaknya.

Dr Mansor juga berterima kasih kepada artis veteran kerana sudi hadir untuk memberi semangat dan sumbangan peribadi kepada Ainul Fatini.

“Kehadiran artis veteran ini bukan saja dapat menarik orang ramai untuk hadir dan menderma malah turut menceriakan Ainul Fatini yang kerap murung selepas menghidap barah tulang,” katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2014 @ 5:08am
d