mutakhir

Ajal lori roti

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Lenggong: Seorang lelaki meninggal dunia selepas kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max yang dipandunya bertembung dengan lori membawa muatan roti di Jalan Air Kala, Lenggong di sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 7 pagi, mangsa, Rosli Alias, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di badan manakala pemandu lori turut cedera.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong Mohd Rodzai Darus berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.18 pagi daripada orang ramai.

“Kami memotong bahagian Isuzu D-Max berkenaan serta lori bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk bedah siasat dan rawatan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ 1987.

Disiarkan pada: December 28, 2014 @ 5:28am
d