mutakhir

Sengaja bikin panik

Kuala Lumpur : Ketika kebanyakan rakyat Malaysia berdoa supaya banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini segera surut dan semua mangsa selamat, ada individu mengisi masa terluang dengan menghantar mesej palsu bagi menimbulkan rasa panik melalui aplikasi WhatsApp, Twitter serta laman sosial Facebook (FB).

Mesej mendakwa kononnya mayat 10 individu ditemui lemas di dalam sebuah rumah di Guchil selain mayat bergelimpangan di Kuala Krai, Kelantan menjadikan orang ramai khasnya mangsa banjir serta pihak berkuasa bukan saja terkejut malah situasi itu menimbulkan rasa tidak puas hati selain kelam-kabut.

Mengulas penyebaran mesej seperti itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika dihubungi berkata, pihaknya memandang serius perkara itu.

“Kerana itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini memantau mana-mana mesej untuk diambil tindakan.

“Kami harap orang ramai menapis serta membuat pengesahan maklumat yang diperoleh. Ini zaman media sosial yang mana segala mesej tidak tepat, gosip dan tohmahan disebarkan kepada orang ramai dengan pantas,” katanya.

Beliau yang turut menerima mesej seumpama itu melalui media sosial berkata, masyarakat perlu menapis maklumat diterima dan memastikan ia sahih atau sebaliknya.

“SKMM akan mengambil tindakan terhadap individu yang melakukan kesalahan terbabit demi kepentingan ramai,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Sharil Tarmizi turut mengingatkan pengguna media sosial supaya tidak menyebarkan, memuat naik atau berkongsi status berbentuk spekulatif mengenai banjir tanpa berpandukan fakta daripada sumber sahih.

“Kami berulang kali mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi atau ‘forward’ berita yang tidak ditentusahkan kerana perbuatan seperti ini mungkin mengeruhkan keadaan dan mengelirukan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Menurut beliau, pada waktu kritikal seperti ini, maklumat palsu yang disebarkan akan menyulitkan kerja mencari dan menyelamat.

“Ia akan menyebabkan kekeliruan dalam operasi bantuan. Bukan itu saja, ahli keluarga mereka yang terkandas akan bertambah risau dan panik. Niat untuk membantu dengan menyampaikan maklumat memang baik, tetapi sebelum menyebarkan sebarang berita, tanya diri sendiri sama ada ia benar-benar membawa kebaikan atau menambah buruk keadaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, SKMM bersama-sama dengan syarikat telekomunikasi sedang giat menjalankan usaha membaik pulih dengan menggunakan ‘generator set’ atau ‘genset’ serta kenderaan ‘Cellular on Wheels’ atau COW di kawasan yang tidak ditenggelami air,” kata Mohamed Sharil.

Disiarkan pada: December 28, 2014 @ 5:29am
d