mutakhir

Kerajaan perkemas SOP hadapi banjir

Cyberjaya: Kerajaan akan memperkemaskan prosedur standard operasi (SOP) menghadapi banjir yang diguna pakai semua peringkat jabatan bagi mengurangkan beban serta kesan besar kepada rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu juga bagi memastikan sistem bantuan dan menyelamat terhadap mangsa dapat dilaksanakan lebih pantas dan cepat.

“Pertama, dari segi logisitik misalnya, keperluan menambah helikopter dan aset seperti bot yang akan digunakan pada masa akan datang. Siapa pembekal serta perkara terperinci mengenainya akan ditentukan dan dibincangkan nanti.

“Selain itu, berkenaan bekalan makanan untuk mangsa banjir walaupun bekalan makanan bukan menjadi satu isu besar,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat di Pusat Kawalan Bencana Negara di Pulau Meranti dekat sini, semalam.

Muhyiddin berkata, aspek seterusnya yang akan dilihat ialah dari segi perhubungan dan komunikasi bersama pegawai yang menguruskan mangsa banjir.

“Misalnya, kesukaran untuk berhubung ketika banjir berikutan sukar mendapatkan kemudahan cas bateri telefon.

“Justeru, boleh disediakan ‘power bank’ kepada pegawai untuk memudahkan mereka berhubung bersama memberikan laporan terkini dan masalah di tempat mereka,” katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2014 @ 5:39am
d