mutakhir

Pindah guna khidmat helikopter

Putrajaya: Semua pesakit kritikal di hospital yang terjejas akibat banjir di negeri Kelantan akan dipindahkan dengan segera ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian bagi mendapatkan rawatan seterusnya di hospital berkenaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, sehingga kini 35 pesakit kritikal yang sebelum ini mendapatkan rawatan di hospital terjejas banjir sudah dipindahkan ke HUSM.

Menurutnya, tujuh lagi pesakit kritikal dihantar ke hospital berkenaan iaitu tiga dari Hospital Kuala Krai, dua dari Hospital Tumpat dan dua lagi dari Hospital Pasir Mas.

“Penghantaran pesakit kritikal terbabit akan dipindahkan menggunakan bantuan helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bagaimanapun, jika tidak dapat kami akan menyewa helikopter daripada pihak swasta bagi memindahkan semua pesakit kritikal dari hospital yang terjejas akibat banjir,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kecemasan Kementerian Kesihatan bagi menghadapi banjir di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Dr Subramaniam berkata, walaupun pesakit kritikal terbabit dipindahkan ke HUSM, pembedahan tidak dapat dilakukan kerana kemudahan yang diperlukan itu tidak mencukupi buat masa ini.

“Pemindahan pesakit kritikal itu ke HUSM menggunakan helikopter hanya mengambil masa yang pendek iaitu 10 minit dan sekiranya dipindahkan ke hospital lain, ia memerlukan masa panjang untuk terbang ke sana,” katanya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: December 28, 2014 @ 5:39am
d