mutakhir

Rumah sendiri tenggelam

Kota Bharu: “Ketika sibuk dengan tugasan banjir, rumah saya sendiri ditenggelami air tanpa sempat untuk menyelamatkan harta benda,” kata petugas yang terbabit membantu mangsa banjir Mohd Zamzuri Salleh, 43, dari Kampung Pasir Jelatang, Pasir Hor, di sini, semalam.

Penolong Pengarah Jabatan Penerangan negeri itu berkata, sebaik menerima panggilan daripada jiran jam 6 pagi kelmarin, dia pulang ke rumahnya untuk memindahkan barangan di dalam rumah, tetapi tidak sempat kerana air naik terlalu cepat.

Katanya, dalam suasana kelam-kabut itu, dia turut membantu jiran terdekat dan sanak-saudara apabila enam rumah kediaman mereka di kampung itu turut dinaiki air sedalam 1.2 meter.

“Mujur saya cepat dapatkan bantuan bot dari penduduk setempat untuk menyelamatkan 20 ahli keluarga jiran dan sanak-saudara saya itu ke kawasan selamat di madrasah Kampung Paya Keranji.

“Banjir sebelum ini tidak seteruk kali ini kerana air naik begitu besar menyebabkan rumah saya dan penduduk di kampung itu ditenggelami air dipercayai berpunca limpahan air Sungai Seribong,” katanya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: December 28, 2014 @ 5:40am
d