mutakhir

'Guna nama saya suruh pindah'

Kuantan: “Tegas terhadap mangsa banjir untuk pindah segera walaupun terpaksa menggunakan nama saya untuk berbuat demikian,” titah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang kecewa dengan tindakan segelintir mangsa banjir yang enggan berpindah hingga menyebabkan operasi menyelamat dan memindahkan mereka menghadapi kesulitan.

Tengku Abdullah bertitah, agensi keselamatan dan pihak berkuasa perlu bertindak lebih tegas terhadap individu yang ingkar arahan untuk berpindah bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku hingga menyebabkan kehilangan nyawa.

Malah, baginda memberikan kebenaran kepada pasukan penyelamat untuk menggunakan namanya bagi memudahkan lagi operasi memindahkan mangsa banjir yang berdegil berbuat demikian.

“Banjir bukan perkara remeh kerana dalam keadaan semakin kritikal ini semua pihak terutama penduduk di kawasan terjejas banjir seharusnya patuh arahan pasukan penyelamat bagi memastikan kelancaran operasi.

“Saya bukan ‘Superman’ yang dapat bantu atau angkut semua mangsa dalam sekelip mata. Oleh itu, beri kerjasama dan sentiasa peka terhadap arahan yang diberikan demi keselamatan masing-masing,” titah baginda ketika hadir ke sesi taklimat banjir di Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Fatimah Ghazali dan Pegawai Daerah Kuantan Datuk Norhayad Ahmad.

Baginda bertitah, usaha menyelamat dan penghantaran bekalan makanan kepada mangsa banjir perlu dilakukan segera dan bersistematik sebelum banjir berlaku di kawasan berisiko atau kritikal.

“Saya harap pihak yang membuat keputusan tidak berkira dalam soal ini sebaliknya bekalan makanan perlu dihantar segera ke segenap pelusuk kawasan sebelum keadaan banjir lebih serius.

“Jangan berkira sangat makanan itu perlu dihantar ke mana sebaliknya hantar dulu dalam jumlah mencukupi supaya masalah terputus bekalan makanan tidak berlaku,” titahnya.

Disiarkan pada: December 29, 2014 @ 5:13am
d