mutakhir

Ganda pelaburan amanah saham

Oleh Hamizah Badiran

Menjelang bulan Disember setiap tahun, pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB), pasti ternanti-nantikan jumlah agihan dividen yang bakal diumumkan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Justeru, pengumuman PNB mengenai pemberian dividen sebanyak 7.5 sen seunit dan bonus sebanyak 1 sen seunit, sudah pasti menggembirakan pelabur ASB, terutamanya dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Sudah pasti, ramai pelabur yang mempunyai perancangan bagaimana mahu membelanjakan dividen yang bakal diterima nanti.

Namun begitu, tahukah anda, pelaburan dalam ASB atau mana-mana instrumen pelaburan lain akan memberi lebih pulangan dan mampu memberi lonjakan berganda jika pulangan yang diterima tidak dikeluarkan untuk jangka panjang.

Justeru, sekiranya tiada keperluan mendesak untuk mengeluarkan dividen yang bakal diumumkan itu nanti, mungkin adalah lebih baik jika ia tidak dikeluarkan supaya ia dapat terus menggandakan modal anda.

Konsep penggandaan ini dikenali sebagai kuasa pengkompaunan, yang mana dividen yang diterima boleh menjadi instrumen menjana pendapatan kerana ia tidak dikeluarkan.

Apabila dividen yang diterima setiap tahun ini dilaburkan semula, ia akan menambah kepada modal asal anda dan turut menjana pulangan.

Sebagai contoh, katakan Irfan melabur sebanyak RM10,000 ketika berusia 25 tahun dalam sebuah tabung unit amanah yang memberi pulangan purata lapan peratus untuk tempoh sepuluh tahun.

Tahukah anda, sekiranya setiap tahun Irfan mengeluarkan dividen yang diterimanya dia hanya dapat membelanjakan RM8,000 sepanjang tempoh pelaburan berkenaan, atau RM1,000 setahun, dan wang pelaburannya tidak bertambah.

Tetapi bagaimana jika dia melaburkan semula semua dividen yang diterimanya? Berdasarkan konsep pengkompaunan, pelaburan Irfan akan berkembang kepada kira-kira RM22,196, iaitu pertambahan sebanyak RM12,296. Paling menarik, dia memperolehnya hanya dengan membiarkan wangnya di dalam akaun tanpa perlu berbuat apa-apa.

Seperti yang dapat anda lihat, sekiranya anda melaburkan semula dividen yang diterima, ia berupaya menggandakan atau tidak mustahil mungkin meledakkan tabungan anda, bergantung kepada lamanya tempoh anda tidak mengusiknya.

Sebenarnya dalam mengatur strategi pelaburan, tidak kira sama ada ia adalah pelaburan risiko tinggi ataupun rendah, apa yang anda perlu ialah sikap sabar dan komitmen tinggi.

Menetapkan matlamat akan membantu anda melihat hasil yang anda inginkan daripada pelaburan anda. Justeru, antara strategi pelaburan terbaik ialah mempunyai tabungan jangka sederhana atau kecemasan dan juga tabungan untuk jangka panjang.

Katakan anda mempunyai lebihan sebanyak RM100 untuk dilaburkan setiap bulan, justeru, anda boleh memilih untuk melabur RM50 dalam ASB dan RM50 lagi dalam AS1M atau ASB2.

Tetapkan ASB sebagai tabungan jangka panjang, manakala ASB2 atau AS1M sebagai tabung jangka sederhana dengan matlamat sebagai bayaran muka rumah, tabung kecemasan atau mungkin tabungan untuk perayaan.

Mengapa ASB sebagai tabungan jangka panjang? Ini kerana anda perlu memilih tabung yang mempunyai rekod pembayaran dividen atau agihan pendapatan yang lebih tinggi sebagai tabungan jangka panjang bagi membolehkan tabungan berkembang dengan lebih pantas.

Dengan strategi dan sikap yang betul terhadap pelaburan, tidak mustahil, anda akan mempunyai wang yang diperlukan apabila bersara atau ketika keadaan memerlukan kelak.

Disiarkan pada: December 30, 2014 @ 7:39am
d