mutakhir

Nostalgia sungai tukar lautan 1971

Temerloh: “Banjir kali ini mengenang kembali nostalgia 1971 apabila sungai bertukar menjadi lautan,” kata seorang warga emas, Abdul Manap Ahmad, 74, yang sudah dua kali berdepan pengalaman banjir besar termasuk pada tahun ini yang menenggelamkan hampir keseluruhan kediaman termasuk kawasan bandar di daerah ini.

Mengimbau banjir besar pada 1971, Abdul Manap yang berasal dari Kampung Buntut Pulau, di sini, berkata, ketika itu semua penduduk kampung yang tinggal berhampiran sungai menyelamatkan diri dengan berlindung di tempat tinggi kerana hampir keseluruhan kawasan rendah ditenggelami air.

Katanya, ketika itu hanya ada beberapa lokasi saja yang selamat untuk berlindung iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Temerloh dan SK Kampung Tengah, di sini, selain kawasan hutan.

“Sepanjang hidup saya, banjir kali ini kedua terbesar pernah saya saksikan selepas bah 1971 apabila air naik mendadak hingga menenggelamkan kawasan rendah.

“Jika melihat situasi semasa, keadaan banjir ini begitu menggerunkan apabila air naik mendadak hingga melimpah ke kawasan bandar,” katanya semalam.

Abdul Manap berkata, air mula melimpah ke kampungnya sejak Jumaat lalu menyebabkan jalan perhubungan terputus, sekali gus menyukarkan penduduk berpindah.

“Pada Sabtu lalu, bekalan elektrik dan air pula tiada menyebabkan saya meminta anak bongsu, Firdaus, 30, mengambil air di rumah menggunakan bot kerana dibimbangi berlaku kejadian lebih buruk.

“Saya bersyukur tiada kejadian tidak diingini berlaku dan berharap banjir beransur pulih kerana tidak mahu kenangan pahit bah 1971 berulang,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga Syah Rizal Hussain, 34, dari Taman Karpaga, di sini, berkata, dia pernah mendengar cerita keadaan banjir besar pada 1971 daripada warga emas di daerah ini.

“Kebanyakan warga emas di daerah ini mengakui banjir besar yang melanda Temerloh tahun ini seakan bah 1971 dengan paras air Sungai Pahang meningkat secara mendadak menyebabkan hampir semua kawasan rendah ditenggelami air,” katanya.

Disiarkan pada: December 30, 2014 @ 7:43am
d