mutakhir

10 empangan berkapasiti penuh

Kuala Lumpur: Sebanyak 10 empangan di seluruh negara kini menunjukkan kapasiti penuh 100 peratus, dan setakat jam 6 petang semalam, Empangan Bekok mencatatkan takungan 15.62 meter (m) iaitu melebihi 0.12m daripada paras normal 15.50m.

Sembilan lagi empangan berkapasiti penuh ialah Empangan Machap dan Sembrong di Johor, Bukit Kwong, Kelantan; Muda Mada, Kedah; Ulu Kinta dan Bukit Merah, Perak; Langat, Selangor dan Empangan Batu dan Klang Gate, Wilayah Persekutuan.

Daripada keseluruhan empangan di bawah pengawasan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tiga lagi masih mencatatkan paras berbahaya melebihi takungan maksimum iaitu Muda Mada, Ulu Kinta dan Langat.

Empangan Muda Mada mencatat bacaan isi padu semasa 101.10m melebihi 0.50m daripada paras maksimum 100.60m, manakala Ulu Kinta pula melebihi 0.31m daripada paras maksimum 245.00m menjadikan empangan itu mengandungi isi padu semasa 245.31m.

Empangan langat pula mengandungi takungan 221.15m iaitu melebihi 0.91m daripada paras maksimun 220.96m.

Bagi empangan lain iaitu Machap mencapai paras 17.01m iaitu melebihi paras normal yang sepatutnya 15.85m, manakala Sembrong 10.12m (normal 10.00), Bukit Kwong 17.35m (normal 16.76m), Bukit Merah 8.89m (normal 8.70m), Klang Gate 95.78 (normal 95.22m) dan Empangan Batu 103.29 (102.70m).

Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) meramalkan hujan lebat beserta tiupan angin kencang di beberapa negeri terutama pantai timur dan timur Johor bermula kelmarin sehingga 2 Januari depan.

Justeru JMM meletakkan kawasan berkenaan termasuk beberapa kawasan di Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah sebagai nasihat hujan lebat peringkat kuning.

Berikutan itu JMM menjangkakan proses pemulihan kawasan yang dilanda banjir khususnya di pantai timur Semenanjung mungkin lebih perlahan.

Manakala bagi negeri di pantai barat Semenanjung yang belum dilanda banjir dijangka hanya akan mengalami banjir kilat sahaja ekoran keadaan hujan yang tidak berterusan.

Disiarkan pada: December 30, 2014 @ 7:57am
d