mutakhir

3 hari putus air bersih

Kota Bharu: “Kami kini terpaksa bergantung kepada sumber air daripada kantin sekolah dan masjid berdekatan untuk kegunaan harian seperti memasak dan minum,” kata Zainun Zakaria, 42, dari Kampung Penambang, di sini.

Menurutnya, sumber air bersih daripada paip Sekolah Kebangsaan (SK) Penambang yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sudah kehabisan sejak tiga hari lalu.

Katanya, dia bersama tujuh anaknya berpindah ke PPS di sekolah itu sejak 23 Disember lalu selepas rumahnya digenangi air, manakala suami Ahmad Suhaimi, 48, tidak turut serta kerana menjaga rumah mereka.

“Saya bimbang kerana sumber air diperolehi daripada paip kantin sekolah berkurangan sedangkan kami terperangkap dalam banjir yang turut memasuki pekarangan sekolah.

“Bagaimana kami dapat bertahan jika keperluan asas seperti air minuman dan memasak tiada,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan di SK Penambang, di sini, kelmarin.

Seramai 1,639 mangsa banjir daripada 420 keluarga dari beberapa kampung termasuk Kampung Tikat, Penambang, Bunga Emas, Banggol, Kijang dan Sungai Budur ditempatkan di PPS SK Penambang sejak 23 Disember lalu.

PPS itu turut menjadi lokasi misi bantuan kemanusiaan digerakkan Biro Kebajikan UMNO Malaysia diketuai Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Disiarkan pada: December 30, 2014 @ 7:59am
d