mutakhir

Kebenaran hanya perlu 10 saat

Kuala Lumpur: Seseorang juruterbang mempunyai tanggungjawab sepenuhnya ke atas penumpang dan kru penerbangan termasuk bertindak membuat keputusan penting biarpun tidak mendapat kebenaran pusat kawalan trafik udara (ATC).

Ketua Seksyen Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kuala Lumpur-Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (UniKL-Miat) Prof Madya Kapten Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, juruterbang hanya akan memikirkan keselamatan penumpang dan kru di dalam pesawat dan akan mengambil apa juga tindakan yang difikirkan sesuai ketika saat genting.

Katanya, kebenaran ATC hanya mengambil masa kurang dari 10 saat, namun ia bergantung juga kepada keadaan cuaca.

“Jika ia terlalu lama, juruterbang perlu membuat keputusan segera.

“Mana-mana kapten akan buat keputusan segera yang difikirkan paling selamat. Bagaimanapun, kelulusan ATC adalah keutamaan kerana ia membabitkan laluan udara, apatah lagi jika ia sibuk,” katanya.

Beliau mengulas laporan media Indonesia yang menyebut pesawat AirAsia Indonesia ada meminta kebenaran naik ke ketinggian 38,000 kaki di udara dari paras 32,000 kaki, namun permintaan itu ditolak ATC.

Laporan itu memetik Pengarah Perhubungan Udara Kementerian Perhubungan, Djoko Murjatmodjo sebagai berkata, pesawat itu sempat meminta membelok ke kiri untuk mengelak awan dan dibenarkan, namun selepas itu permintaan juruterbang untuk naik ke paras ketinggian baru, ditolak.

Dr Mohd Harridon berkata, seseorang juruterbang akan mempertimbangkan kemungkinan paling hampir untuk dilakukan apabila mendapati sesuatu yang tidak kena berlaku dilaporkan sistem pesawat.

Disiarkan pada: December 30, 2014 @ 8:33am
d